Sunday 20 November 2011

Cengkaman City semakin kukuh (21/11/2011)

LONDON: Manchester City mengukuhkan kedudukan mereka di tangga teratas Liga Perdana Inggeris selepas mencatat kemenangan 3-1 ke atas Newcastle United, Sabtu lalu sekali gus melebarkan jumlah jaringan mereka kepada 42 daripada 12 perlawanan.
Mario Balotelli dan Sergio Aguero kedua-duanya menjaringkan gol menerusi sepakan penalti dan Micah Richards turut menyumbang gol ketiga ketika menumbangkan Newcastle yang akhirnya tewas buat kali pertama musim ini dan menyaksikan hanya City satu-satunya pasukan belum tewas.

City kini mengumpul 34 mata musim ini dan selesa dengan kelebihan lima mata berbanding Manchester United yang mengumpul 31 mata.
Juara bertahan itu menewaskan Swansea City 1-0. Javier Hernandez menyumbang gol tunggal untuk United pada minit ke-11 selepas menerima hantaran silang dari Ryan Giggs.

Ketika City memecah rekod muncul kelab Liga Perdana Inggeris paling banyak mengalami kerugian iaitu �194.9 juta (RM972.6 juta) sekali gus menimbulkan persoalan, namun hakikatnya kemaraan kelab itu setakat ini tidak dapat disekat.

Meskipun pengurus, Roberto Mancini merehatkan beberapa pemainnya seperti David Silva, Edin Dzeko dan Gareth Barry di bangku simpanan, namun barisan pemain sedia ada tetap mudah untuk menewaskan Newcastle.
“Sebagai sebuah pasukan, kami dilihat kuat ketika ini tapi kami perlu memikirkan saingan yang masih panjang.

“Mungkin kami akan berdepan situasi sukar selepas ini dan atas faktor itu, amat penting untuk kami menjaringkan lebih banyak gol dan terus mencatatkan kemenangan,” katanya. - Reuters

No comments:

Post a Comment