Friday 11 November 2011

Cai Lin enggan janji (11/11/2011)

DARI manakah agaknya skuad renang negara akan merealisasikan sasaran empat pingat emas selepas pemenang tiga emas di Laos, Siow Yi Ting tidak berani meletakkan sasaran kerana hanya menjalani latihan secara serius selama dua bulan.
Kini Koo Cai Lin pula enggan berbicara mengenai emas sebaliknya sekadar mahu meningkatkan prestasi kuakan kerana mahu memburu tempat untuk melayakkan diri ke Sukan Olimpik, di London tahun depan.

“Saya hanya mahu meningkatkan prestasi renangan di sini dan memperbaiki masa untuk melayakkan diri ke Olimpik,” kata Cai Lin ketika ditemui di Kolam Renang Jakabaring.
Menurutnya, kegagalan mencatat masa yang baik tahun ini membuatkan dia kurang yakin untuk meraih lebih banyak emas berbanding di Laos, satu emas dan satu perak yang diraihnya.

“Saya rasa sukar untuk menang emas kali ini tapi saya akan berusaha mempertahankan emas yang dimenangi dua tahun lalu.” Di Laos, Cai Lin menjuarai acara 400m gaya bebas dengan rekod baru Sukan Sea 4:10.75s manakala perak dalam acara 800m gaya bebas.

Dia sekadar merakam masa 4:19.00s dalam acara 400m dan 8:47.00s dalam 800m tahun ini, jauh dari masa terbaik yang dirakam di Laos.

Justeru bagi meningkatkan motivasi dirinya di Palembang, Cai Lin enggan terlalu mengejar emas sebaliknya mahu melepasi kelayakan Olimpik kerana kali terakhir menyertai kejohanan adalah di Kejohanan Sukan Universiti Dunia (Universiade) di Shenzhen, China Ogos lalu.

No comments:

Post a Comment