Friday 11 November 2011

PSM yakin emas (11/11/2011)

BIARPUN skuad sepak takraw tidak diletakkan harapan untuk meraih emas, Persatuan Sepak Takraw Malaysia (PSM) tetap mensasarkan satu emas dari mereka dan nampaknya hasrat itu akan direalisasikan menerusi acara antara regu Sukan Sea XXVI.
Ketua jurulatih, Jamaluddin Hassan membayangkan akan menurunkan regu berpengalaman dalam pertandingan antara regu yang akan bermula esok di Kompleks Sukan Jakabaring.

“Ketiga-tiga pemain yang akan diturunkan adalah gandingan regu terbaik negara ketika ini dan kemungkinan besar saya akan menurunkan mereka sebagai regu pilihan,” kata Jamaluddin.
Regu yang dimaksudkan adalah Muhammad Shazwan Husin, Norshahruddin Mad Ghani dan Farhan Adam.

“Mereka mempamerkan prestasi konsisten malah trio itu juga antara pemain berpengalaman dalam skuad negara dan pernah beraksi di Sukan Asia serta dua Sukan Sea.” Malaysia diletakkan dalam kumpulan B bersama Singapura, Vietnam dan Laos akan memulakan saingan menentang Singapura dan Laos esok, sebelum bertemu Vietnam hari berikutnya.

Kumpulan A pula dianggotai tuan rumah Indonesia, Thailand, Filipina dan Brunei.

Norshahruddin akan beraksi sebagai apit kanan, Farhan apit kiri dan Muhammad Shazwan tekong manakala Mohamad Fadzli Muhammad Roslan dan Mohamad Fazil Mohd Asri dijangka menjadi pemain simpanan regu itu.

Regu negara dijangka mudah menjuarai kumpulan B dan diramal menentang Indonesia di separuh akhir, kecuali tuan rumah mengejutkan Thailand untuk muncul juara kumpulan A.

Kali terakhir Malaysia menang emas sepak takraw Sukan Sea pada 2005 di Manila yang menyaksikan regu Normanizam Ahmad, Mohd Futra Abd Ghani dan Mohammad Zulkarnain Mohamed Arif menewaskan Thailand di final.

No comments:

Post a Comment