Friday 11 November 2011

‘Saya bukan gila’ (11/11/2011)

ROME: Penyerang Itali yang sukar diramal, Mario Balotelli mengaku pernah melakukan perkara yang pelik tapi ia tidak bermakna dia gila.
Pemain bola sepak berusia 21 tahun itu yang mempamerkan persembahan memukau buat Manchester City yang mengungguli Liga Perdana Inggeris, musim ini, terkenal dengan sikapnya yang sukar diramal di Itali mahupun England.

Insiden terbaru menyaksikan bomba terpaksa berkejar ke rumahnya apabila bilik mandi kediamannya terbakar selepas dia menyalakan bunga api tapi dia menafikan bertanggungjawab terhadap kemalangan terbaru itu.
“Saya banyak melakukan perkara yang pelik, ada kalanya lucu tapi saya tidak gila,” katanya yang menjaringkan dua gol untuk membantu City membelasah Manchester United, 6-1, dua hari selepas kebakaran itu.

“Bila sudah terkenal, orang ramai pastinya ingin tahu kehidupan peribadi anda dan saya muak untuk mengulas subjek ini,” kata Balotelli yang mengangkat jersi dipakai untuk menayangkan slogan ’Why always me?' (Mengapa Asyik Saya?) selepas menjaringkan gol pada pertemuan menentang United.

Balotelli, yang dijadual beraksi dalam perlawanan persahabatan menentang Poland awal pagi esok sebelum bertemu juara Copa Amerika, Uruguay, mengkritik laporan akhbar tabloid Inggeris yang mengaitkannya dengan pelakon filem pornografi, Holly Henderson, 32.

“Akhbar Inggeris seperti 'Sun' lebih teruk berbanding Itali. Akhbar yang menyiarkan gambar wanita bogel untuk muka depan amat menjijikkan bagi saya. Sebab itu saya pilih akhbar Itali.” Balotelli, yang meletakkan misi menjaringkan gol antarabangsa pertamanya pada pertemuan menentang Poland turut berharap kutukan terhadap warna kulitnya yang sering dilemparkan ketika mewakili Inter Milan tidak berulang. - AFP

No comments:

Post a Comment