Tuesday 22 November 2011

Atlet Terbaik Sukan Sea (23/11/2011)

KOLEKSI lima emas yang dimiliki Katrina Ann Abdul Hadi dan Png Hui Chuen membolehkan mereka ditabal sebagai Atlet Terbaik Sukan Sea Ke-26 Jakarta/Palembang yang berakhir semalam.
Atlet renang berirama itu menyamai pencapaian yang dilakukan perenang sensasi negara Daniel Bego dua tahun lalu, yang turut dikalung lima emas sekali gus mengekalkan gelaran atlet terbaik di arena akuatik.

Katrina dan Hui Chuen adalah perenang paling senior dalam skuad renang berirama yang menanti untuk menyertai Sukan Sea selama hampir 10 tahun lalu selepas kejohanan itu tidak dipilih untuk dianjurkan di temasya serantau.
Hui Chuen, 27, yang berada dalam skuad pelapis ketika renang berirama kali terakhir dianjurkan tidak terpilih untuk beraksi di Kuala Lumpur 2001, pastinya paling puas apabila penantiannya berbaloi.

Dia bersama Katrina, 19, berganding sebagai pasangan duet di setiap kejohanan yang disertai semakin serasi hinggakan tiada pencabar mampu mengatasi mereka di peringkat Asia Tenggara.

Kedua-dua perenang itu memenangi emas dalam duet rutin teknikal serta membantu pasukan dalam acara berpasukan rutin teknikal, bebas dan kombinasi.
Kejayaan gemilang kedua-dua perenang itu yang memburu slot untuk melayakkan diri ke Sukan Olimpik London tahun depan dalam acara duet itu juga membolehkan skuad negara menyapu bersih semua lima emas yang dipertandingkan dalam renang berirama.

Ketua Pengarah MSN, Datuk Zolkples Embong berkata, setiap pemenang emas akan diberi ganjaran RM10,000 bagi satu emas tetapi pihaknya akan membincangkan semula jumlah sebenar ganjaran yang akan diberi kepada atlet.

No comments:

Post a Comment