Tuesday, 22 November 2011

Cemas hadapi lautan baju merah (23/11/2011)

DETIK mencemaskan ketika ribuan penyokong berbaju merah Indonesia menyerang bas skuad negara di perkarangan Stadium Gelora Bung Karno kelmarin akan menjadi pengalaman yang tidak akan saya lupakan.
Saya antara lebih 40 penyokong yang berada dalam bas mengekori bas pasukan negara bergerak ke stadium.

Sebaik tiba di perkarangan stadium jam 6.30 petang waktu Malaysia, penyokong Indonesia yang menyedari kehadiran kami terus mengerumuni bas sehingga tidak dapat bergerak.
Polis yang membuat kawalan seakan-akan tidak mampu menghalang tindakan ganas penyokong Indonesia yang difahamkan tidak dapat masuk kerana tidak memiliki tiket.

Penyokong fanatik tuan rumah tidak kira tua dan muda itu menjerit ‘maling’ (pencuri) dan menunjukkan isyarat lucah ke arah kami. Ada juga yang membawa sepanduk ‘Go to hell Malaysia’.

Lebih teruk apabila ada yang bertindak lebih agresif dengan menyepak dan mengetuk bas dengan kayu serta balingan botol minuman ke cermin bas.
Saya dan penumpang lain hanya mendiamkan diri dan tidak mahu memberi tindak balas kerana bimbang ia akan mencetuskan suasana lebih tegang.

Keadaan di dalam stadium juga tidak dapat dikawal apabila penyokong bersesak-sesak mencari tempat duduk sehingga menceroboh tempat duduk media dan menyebabkan ada penonton yang pengsan di situ.
Mujurlah tidak berlaku sesuatu yang buruk ketika saya dan rakan media dari Malaysia di situ namun sedih juga apabila mendapat berita dua penyokong Indonesia terkorban akibat bersesak-sesak untuk masuk ke dalam stadium.

No comments:

Post a Comment