Wednesday 23 November 2011

AirAsia cat pesawat warna Harimau Muda (24.11.2011)

AIRASIA, jenama yang secara aktif dikaitkan dengan sukan dan remaja akan menghormati wira-wira bola sepak negara dengan mengecat pesawat mereka berdasarkan warna Harimau Muda.
Dijangka siap pada suku pertama 2012, pesawat itu akan menggambarkan kejayaan membanggakan pasukan negara selepas mereka memenangi pingat emas Sukan Sea dengan menewaskan tuan rumah, Indonesia di perlawanan akhir.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan AirAsia Bhd, Tan Sri Dr Tony Fernandes (gambar) berkata, skuad Harimau Muda menampilkan persembahan seperti bintang sebenar ketika beraksi di padang dan berhak menerima penghormatan itu kerana berjaya mempertahankan pingat emas untuk Malaysia serta membuatkan rakyat negara ini bangga.
“Seorang pengikut twitter bertanyakan jika saya akan mengecat pesawat dengan warna Harimau Muda jika mereka menang dan saya kata, ya. Skuad Harimau Muda mengotakan janji mereka untuk memenangi pingat emas itu dan saya akan menunaikan janji saya kerana pasukan itu berhak menerimanya. Pesawat itu akan mengingatkan kita bagaimana sukan boleh menyatupadukan negara, tanpa mengira kepercayaan dan budaya masing-masing. Moga-moga ia dapat memberikan inspirasi kepada pemain muda untuk mengambil bahagian dalam sukan dan meletakkan Malaysia di peta antarabangsa,” katanya.

Skuad bawah 23 tahun negara menaiki pesawat khas AirAsia dari Lapangan Terbang Soekarno-Hatta, Jakarta bersama-sama dengan Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek pada awal pagi Selasa. Ribuan peminat Harimau Muda turut membanjiri Terminal Penerbangan Tambang Murah (LCCT) untuk meraikan wira-wira negara itu kembali ke tanah air.

Pasukan itu mencipta sejarah Sukan Sea dengan kemenangan berganda apabila mempertahankan pingat emas bola sepak Sukan Sea untuk Malaysia dengan persembahan mengagumkan sepanjang perlawanan itu yang berkesudahan dengan kemenangan penalti ketika menentang Indonesia.
Penyandang juara itu pada mulanya dijangka berdepan dengan tugasan mencabar apabila diundi dalam Kumpulan A yang dipanggil ‘Kumpulan Maut' kerana turut dianggotai Indonesia, Thailand dan Singapura.

Bagaimanapun, pemain skuad itu membuktikan mereka perlu dihormati apabila pemain muda negara muncul juara kumpulan untuk mara ke separuh akhir yang menyaksikan Malaysia menewaskan Myanmar 1-0 untuk mara ke final sebelum membawa pulang pingat emas.

No comments:

Post a Comment