Wednesday, 23 November 2011

Villas-Boas akui bakal dipancung (24.11.2011)

LEVERKUSEN: Pengurus Chelsea, Andre Villas-Boas mengakui yang ‘kepalanya bakal dipancung’ melainkan pasukannya boleh memperbaiki persembahan mereka dengan meraih keputusan yang dikehendaki.
Pasukan bimbingan Villas-Boas itu menduduki tempat kelima saingan Liga Perdana Inggeris yang menyaksikan mereka berada 12 mata di belakang pendahulu Manchester City dan tekanan kini memuncak terhadap pengurus itu yang berada dalam musim pertamanya di Stamford Bridge.

Kekalahan 2-1 kepada Liverpool di gelanggang sendiri pada Ahad lalu adalah kali ketiga Chelsea tewas dalam empat perlawanan liga dan pengurus berbangsa Portugis itu berkata walaupun pasukannya bermain baik, hanya keputusan yang lebih baik boleh mengurangkan tekanan.
Pemilik Chelsea, Roman Abramovich membayar Porto 15 juta euro untuk mengupah Villas-Boas, tapi pengurus itu berkata beliau menjangkakan tekanan terhadapnya akan memuncak melainkan pasukannya mula memenangi semula perlawanan, terutama apabila kempen awal musim kelab itu bermula dengan buruk dalam tempoh lapan tahun sejak bilionair Russia itu mengambil alih.

“Tiada apa yang dapat dikatakan terhadap apa yang sedang kami lalui dan dalam situasi seperti ini, selalunya kepala pengurus yang akan dipancung terlebih dulu,” kata Villas-Boas, 34.

Kelmarin, Villas-Boas didenda �12,000 oleh Persatuan Bolasepak dan diberi amaran mengenai kelakuannya selepas didapati bersalah kerana komen yang dibuat ketika pasukannya tewas 1-0 kepada Queens Park Rangers pada 25 Oktober lalu.
Villas-Boas berkata kekalahan itu yang menyaksikan Chelsea beraksi dengan sembilan pemain selepas Jose Bosingwa dan Didier Drogba dibuang padang, mencetuskan nasib merudum pasukannya.

“Kami bermain baik sebelum pertemuan menentang QPR, kami masih bermain baik dengan sembilan pemain, kami juga bermain baik ketika menentang Arsenal (mereka tewas 5-3) dan Liverpool, tapi kami tidak menang,” katanya.
“Bola sepak adalah perlawanan yang memerlukan kami menang. Apabila kami tidak menang, kami akan berasa bimbang mengenai perlawanan berikutnya.” - AFP

No comments:

Post a Comment