Saturday 12 November 2011

Morren, Ahmad puas (13/11/2011)

DUA atlet taekwondo dari Bintulu Sarawak, Morren Urai Lian dan Ahmady Radi hadir ke Jakarta tanpa sebarang harapan namun berjaya membuktikan penampilan pertama mereka di Sukan Sea Indonesia ini bukan sia-sia apabila meraih pingat gangsa dalam acara poomsae campuran.
Biarpun terlepas pingat emas yang dimenangi atlet Vietnam, Dinh Toan Nguyen-Minh Tu Nguyen dan pemenang perak Vidal Marvin Gabri-Shaneen Ched Sia dari Filipina, kejayaan meraih pingat pertama untuk skuad taekwondo nyata cukup bermakna.

Apatah lagi, Morren dan Ahmady baru saja digandingkan awal tahun ini selepas melepasi pemilihan untuk diserapkan dalam skuad negara ke temasya ke-26 ini.
“Ini pencapaian yang baik bagi saya meskipun hanya meraih pingat gangsa. Saya akui kami agak gementar ketika turun ke gelanggang sebentar tadi (semalam) tapi bersyukur kerana masih berjaya memberikan aksi terbaik,” katanya yang ditemui di Pusat Sukan POPKI, Cibubur semalam.

Dalam acara itu, Morren, 23, dan gandingannya Ahmady, 18, memperagakan aksi kemas untuk mengumpul 7.73 mata dan berkongsi mata bersama wakil Laos, Soukthavy Panyasit-Ounvongsa Nola.

Juara, Vietnam mengumpul 8.13 mata manakala Filipina terpaksa akur di tangga kedua, 8.02 mata.

Sementara itu, dua lagi atlet negara yang beraksi dalam acara individu lelaki dan wanita pomsae, Yong Jin Kun dan Jocelyn Chai Swu In menduduki tangga kelima dan keenam.

No comments:

Post a Comment