Friday 11 November 2011

Skuad kenu tercorot (12/11/2011)

SEMUANYA tidak menjadi buat skuad muda kenu negara di Tasik Cipule, Jawa Barat semalam yang menamatkan saingan hari pertama pertandingan kenu dan kayak Sukan Sea menyedari mereka perlu berusaha lebih keras untuk memajukan sukan itu.
Semua peserta negara yang berjaya mara ke perlumbaan akhir menduduki tangga tercorot dalam acara mereka, Kenny Dalglish David dalam acara lelaki 1,000m C1 (kenu), Abdul Halim Heesham dan Mohd Effendi Mohd Azaha dalam acara 1,000m K2 (kayak) dan kuartet K4 (kayak) terdiri daripada Hamdan Mohammad, Abdul Halim, Mohd Noh Parmin dan Mohd Effendi.

Jurulatih Sham Husin, anggota skuad K4 yang memenangi pingat gangsa pada Sukan Sea Jakarta 1997, kali terakhir Malaysia meraih pingat dalam sukan itu berkata, skuad itu dibentuk menerusi atlet berbakat daripada Sukan Malaysia (Sukma) tahun lalu dan ini adalah penampilan sulung mereka kecuali Hamdan.
“Kami cuba menyediakan skuad ini sebaik mungkin. Keputusannya jelas sekali tapi kami memang tidak terlalu berharap daripada temasya Sukan Sea ini. Kami mengumpulkan skuad ini awal tahun ini dengan sasaran mempersiapkan diri menghadapi Sukan Sea 2013 di Myanmar,” kata Sham.

“Memang benar kami tidak mempunyai kelebihan dan menghadapi banyak halangan untuk bertanding di sini. Tapi ia sebahagian daripada proses membentuk pasukan. Kini atlet kami sudah melihat sejauh mana keupayaan mereka,” katanya.


No comments:

Post a Comment