Friday 11 November 2011

Buang masa 4 jam (12/11/2011)

EMPAT atlet taekwondo negara tidak mempunyai pilihan selain perlu memulakan perjalanan dari tempat penginapan, Puri Casablanca di Kuningan seawal jam 6.30 pagi jika mereka tidak mahu terlepas acara pertama mereka jam 9 pagi di Gelanggang Olahraga Cibubur.
Menurut jurulatih negara, R Dhanaraj, beliau mahu mengemukakan cadangan supaya pihak penganjur Sukan Sea Indonesia memulakan acara taekwondo selepas ini sekurang-kurangnya jam 10 pagi bagi mengelakkan masalah kelewatan perjalanan.

“Tempat tinggal kami jauh dengan venue pertandingan memaksa kami keluar lebih awal. Tambah menyukarkan apabila masalah kesesakan lalu lintas yang teruk di sini.
“Untuk pergi dan balik, atlet terpaksa menghabiskan masa selama empat jam, masa itu kalau digunakan untuk berehat atau berlatih lebih baik,” katanya. yang ditemui di Puri Casablanca, Jakarta semalam.

Skuad taekwondo negara yang berazam membawa pulang sekurang-kurangnya satu pingat emas pada temasya ke-26 ini akan memulakan cabaran dalam acara poomsae dan kyorugi hari ini.

Biarpun berdepan masalah atlet kyorugi wanita bawah 62kg negara, Maznah Samad (gambar) tetap fokus dan bertekad menjadi antara penyumbang pingat terawal negara biarpun tampil buat kali pertama di sini.

“Saya mahu menggunakan peluang ini sebaik-baiknya untuk membuktikan segala pengorbanan saya membuahkan hasil.

“Memang saya berhajat untuk meraih emas tapi saya perlu berhati-hati kerana saya masih belum tahu kekuatan lawan,” kata atlet berusia 21 tahun itu.

No comments:

Post a Comment