Tuesday 22 November 2011

‘Sasaran 44 emas’ (23/11/2011)

AKHIRNYA Majlis Sukan Negara (MSN) mendedahkan angka sebenar sasaran mereka pada temasya Sukan Sea ke-26 yang berakhir semalam iaitu sebanyak 44 pingat emas bukannya antara 40 hingga 45 yang diuar-uarkan sebelum ini.
Jelas, 59 pingat emas yang diraih atlet negara membuktikan sasaran MSN itu sudah tersasar sebaliknya sasaran persatuan (60 emas) dan Majlis Olimpik Malaysia (antara 50 hingga 55) adalah yang paling tepat.

Atas kertas, ia menunjukkan kejayaan kerana daripada 44 emas sasaran MSN, atlet negara di bawah kelompok itu berjaya meraih 50 emas menerusi acara berbasikal (tujuh), terjun (tujuh), olahraga (enam), renang (lima), renang berirama (lima), bowling (lima), karate (empat), pencak silat (tiga), wushu (tiga), memanah (dua), menembak (dua) dan bola sepak (satu).
Empat sukan yang tidak disasarkan MSN sebelum ini kerana dikatakan tiada rekod pencapaian di peringkat antarabangsa menghasilkan sembilan emas lagi menerusi luncur air (empat), lawan pedang (dua), renang perairan terbuka (dua) dan snuker (satu).

Namun, selepas mereka berjaya walaupun tidak diberikan sebarang harapan sebelum ini, MSN tampil dengan kenyataan majlis itu turut menyumbang bantuan dan geran latihan ke luar negara terhadap sukan-sukan itu.

“Saya gembira dapat mengatasi sasaran 44 pingat emas. Selepas persembahan di Kuala Lumpur (2001), ini adalah pencapaian kedua terbaik selepas Korat (68 emas) sekali gus mengatasi 40 emas di Laos.
“Sukan di luar program MSN yang berjaya seperti lawan pedang, luncur air, snuker dan renang perairan terbuka masih kami beri bantuan dan geran untuk latihan ke luar negara,” kata Ketua Pengarah MSN, Datuk Zolkples Embong di Palembang, semalam.

Persoalannya kenapa baru sekarang MSN mengaku ada menyalurkan bantuan kewangan tetapi berat hati meletakkan sebarang sasaran ke atas sukan-sukan itu? Zolkples mengkategorikan pencapaian pada temasya Sukan Sea kali ini kepada tiga kategori berbeza.
Sukan yang cemerlang dan mencapai sasaran tergolong dalam kategori pertama adalah akuatik, karate dan wushu, pencapaian sederhana (menembak dan memanah) dan gagal (gimnastik, pelayaran, sepak takraw dan tinju).

Memanah disasarkan empat emas tetapi hanya pulang dengan dua, menembak disasarkan tiga tapi hanya dua manakala gimnastik, pelayaran dan tinju langsung tidak menyumbang pingat emas.

No comments:

Post a Comment