Sunday 20 November 2011

Restrict FC cemerlang (21/11/2011)

PASUKAN Restrict FC dari Johor muncul juara kategori Terbuka Lelaki Kejohanan Futsal 1Malaysia (F1M) yang berlangsung di Kompleks Futsal Presint 18, Putrajaya, selama dua hari berakhir semalam, sekali gus menggondol hadiah wang tunai RM20,000, piala dan medal.
Pemain pasukan itu, Mohd Azran Mohd Ariff, 26, berkata kemenangan itu adalah hasil persefahaman di kalangan rakan sepasukan yang tidak jemu berlatih menjelang perlawanan dan bekerja keras sepanjang beraksi di gelanggang.

“Tak sia-sia kami datang dari Johor dan penat lelah kami berlatih setiap hari sebelum perlawanan. Memang tak sangka boleh menang memandangkan ini kali pertama kami bersaing di Putrajaya.
“Ketika di separuh akhir, kami menang 2-1 dan selepas itu kami mula yakin serta bersedia beraksi di peringkat akhir, tetapi hujan lebat sehingga penganjur terpaksa batalkan perlawanan akhir. “Namun, keputusan daripada penganjur memihak kepada kami apabila mengambil kira jumlah jaringan dan menobatkan kami sebagai pemenang,” katanya ketika ditemui sebaik tamat kejohanan itu.

Hadiah disampaikan Timbalan Ketua Pengarah Bahagian Pembangunan Sukan, Kementerian Belia dan Sukan (KBS), Madzrid Ibrahim. Kejohanan berkonsepkan 1Malaysia yang menawarkan hadiah wang tunai keseluruhan bernilai RM68,600 dan julung kali dianjurkan KBS itu menyaksikan sebanyak 285 pasukan dari seluruh negara berentap merebut kejuaraan.

Sementara itu, pasukan Court Soccer muncul juara kategori Lelaki Bawah 18 tahun, manakala bagi kategori Terbuka Wanita diungguli oleh Phoenix A. masing-masing membawa pulang wang tunai RM5,000, piala dan medal. Pemain Phoenix A, Hannani Adriana Shamsul, 16, berkata dia berasa sangat berpuas hati dapat mempamerkan aksi dan kesungguhan dalam kejohanan itu. “Kami sepasukan bermain dengan penuh kesungguhan dan akhirnya ia membuahkan hasil apabila kami menjadi satu daripada pasukan yang menang,” katanya.


No comments:

Post a Comment