Tuesday 22 November 2011

Ranieri idam ke pusingan kalah mati (23/11/2011)

TRABZON, Turki: Jurulatih Inter Milan, Claudio Ranieri mahu anak buahnya menyempurnakan tugas perlawanan terakhir peringkat kumpulan Liga Juara-Juara sekali gus menempah tiket ke pusingan kalah mati dan membolehkan mereka menumpukan semula kepada aksi liga.
Keputusan seri ketika bertemu Trabzonspor dalam saingan Kumpulan B sudah cukup untuk Inter melangkah ke pusingan kedua, namun andai meraih kemenangan, ia mengesahkan mereka sebagai juara kumpulan.

Tetapi Ranieri tetap berasa bimbang dengan lawan mereka yang pernah menumbangkan Inter 1-0 di San Siro pada September lalu.
“Saya percaya Trabzonspor akan bermain dengan penuh bersemangat tetapi kami mahu memastikan layak ke saingan seterusnya,” kata jurulatih itu sebelum meluahkan rasa terkejut dengan sambutan hangat yang diterima warga Turki.

“Saya mahu mengucapkan terima kasih kepada penyokong Trabzonspor yang menyambut kami dengan selendang dan bunga di lapangan terbang.

“Ia sangat mengejutkan. Pastinya keadaan berbeza di tengah padang nanti, tetapi apapun terima kasih.
“Kami akan bertemu lawan yang tewas kepada Lille tetapi bangkit semula. Mereka tahu bagaimana bermain bola dengan baik dengan disokong peminat mereka.” Meskipun Inter tewas pada perlawanan pertama peringkat kumpulan dan mempamerkan prestasi buruk pada saingan awal liga, mereka mempamerkan aksi berbeza di saingan Eropah.

Tiga kemenangan berturut-turut sejak Ranieri mengambil alih tugas dari Gian Piero Gasperini menyaksikan mereka selesa dengan kelebihan empat mata di tangga teratas peringkat kumpulan. - AFP

No comments:

Post a Comment