Wednesday 23 November 2011

PFA selesai baki tunggakan berperingkat (24.11.2011)

PERSATUAN Bola Sepak Perlis (PFA) sedang dalam peringkat terakhir menyelesaikan segala baki tunggakan gaji khususnya membabitkan skuad Liga Super dan Piala Presiden musim lalu.
Setiausaha Eksekutif PFA, Ku Besry Ku Aziz berkata, antara tunggakan itu termasuk dengan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) dan Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso).

Beliau berkata, pembayaran tunggakan itu dilakukan menerusi pelbagai sumber kewangan termasuk daripada PFA dan sumbangan kerajaan negeri berjumlah RM558,000 yang diterima, baru-baru ini.
“Kami (PFA) berterima kasih terhadap kerajaan negeri atas sumbangan itu,” katanya.

Ku Besry berkata, Menteri Besar Perlis, Datuk Seri Md Isa Sabu menyampaikan sendiri sumbangan itu yang diterima Timbalan Presiden PFA, Azhar Ahmad yang juga pengurus pasukan pada majlis yang berlangsung selepas perhimpunan pagi anggota kerajaan negeri di Dewan 2020 Kangar, Isnin lalu.

Katanya, selain tunggakan berkenaan, PFA juga turut berusaha keras menyelesaikan segala tunggakan gaji dan elaun yang membabitkan pegawai dan anggota skuad terbabit yang kini dianggarkan masih berbaki dalam jumlah kecil saja.
“Kita (PFA) sudah berjaya menjelaskan tunggakan gaji dan elaun membabitkan pegawai dan anggota skuad berkenaan dianggarkan berjumlah lebih RM200,000 sebelum Aidiladha lalu. “Bakinya akan diselesaikan berperingkat-peringkat dan dijangka selesai dalam tempoh terdekat ini,” katanya.

Menurutnya, langkah menyelesaikan segala tunggakan berkenaan penting khususnya bagi memenuhi syarat ditetapkan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) bagi memastikan skuad Liga Perdana Perlis layak beraksi dalam Liga M musim depan.

No comments:

Post a Comment