Saturday 12 November 2011

Peserta wajib patuhi syarat (13/11/2011)

PASUKAN amatur yang berminat menyertai Kejohanan Futsal 1Malaysia (F1M) di Kompleks Futsal Presint 18, Putrajaya, 19 dan 20 November ini dinasihatkan untuk mematuhi syarat serta peraturan yang ditetapkan penganjur.
Perlawanan futsal anjuran Kementerian Belia dan Sukan (KBS) dengan akhbar nombor satu negara, Harian Metro yang bertindak sebagai akhbar rasmi kejohanan itu menyaksikan format kejohanan diadakan secara liga satu pusingan sebelum ke pusingan kedua dan seterusnya ke saingan kalah mati.

Pasukan disaran mematuhi peraturan ditetapkan berikutan saingan diadili pengadil bertauliah dari Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) dan penganjur berhak membatalkan penyertaan jika ada yang ingkar.
Tiga kategori utama dipertandingkan iaitu kategori Terbuka Lelaki, Terbuka Wanita dan Lelaki Bawah 18 Tahun dan tiada yuran penyertaan dikenakan.

Namun, setiap pasukan perlu membayar wang pendahuluan sebanyak RM50 dan akan dikembalikan semula sekiranya hadir pada hari kejohanan.

Setiap pasukan wajib mendapatkan minimum campuran dua (2) bangsa atau kaum dan hanya terbuka kepada warganegara Malaysia.

Syarat yang ditetapkan itu selari dengan objektif utama kejohanan untuk menyatupadukan rakyat pelbagai kaum di samping memberi peluang kepada setiap pasukan untuk mempamerkan bakat dan bertanding ke peringkat lebih tinggi. Kejohanan Futsal 1Malaysia (F1M) menyediakan hadiah wang tunai keseluruhan bernilai RM68,600 dengan juara Terbuka Lelaki akan membawa pulang wang tunai RM20,000, piala dan medal, kedua (RM10,000), ketiga (RM6,000), keempat (RM4,000) dan kelima hingga kelapan, RM 1,000. Bagi Terbuka Wanita, juara akan menerima RM5,000, piala dan medal, kedua (RM2,500), ketiga (RM1,500), keempat (RM1,000) dan kelima hingga kelapan, RM500. Kategori Lelaki Bawah 18 pula menyaksikan juara memenangi RM5,000, piala dan medal, kedua (RM2,500), ketiga (RM1,500), keempat (RM1,000) dan kelima hingga kelapan RM500. Pasukan yang menduduki tempat kedua hingga kelapan setiap kategori turut menerima medal. Borang penyertaan berserta syarat penyertaan boleh didapati di laman web KBS, www.kbs.gov.my atau bmaklumat lanjut, hubungi Mohd Zalia Ismail di talian 019-9444334/ 012-9743347 atau Nik Muhd Radzi Mohamed Nor, 019-3519934/ 019-2102442. Tarikh tutup penyertaan adalah pada 15 November ini.

No comments:

Post a Comment