Saturday 12 November 2011

Lunas dendam (13/11/2011)

ROTTERDAM: Datuk Nicol David berjaya dalam misi balas dendam untuk mara ke separuh akhir Kejohanan Skuasy Terbuka Dunia di Belanda, semalam sekali gus mencerahkan peluangnya untuk menjulang gelaran itu buat kali keenam.
Pemain negara yang berpangkalan di Amsterdam itu menewaskan pilihan keenam dari Australia, Kasey Brown yang mengecewakannya pada Terbuka Amerika Syarikat di Philadelphia, Ogos lalu, 11-7, 12-10, 11-4 dalam perlawanan yang disifatkan Nicol sebagai aksi enam set.

Nicol secara berseloroh merujuk kepada rali panjang dan sengit dan memerlukan kedua-dua mereka menggunakan sepenuh kekuatan fizikal dan taktikal khususnya menjelang set kedua.
Rali berkenaan menyaksikan Kasey menggunakan kebolehannya untuk segera kembali ke bahagian tengah dan memberi tekanan kepada Nicol yang membalasnya dengan pukulan bertenaga.

Kasey mendahului 10-9 dan mencetuskan rali terpanjang perlawanan yang hampir dimenangi Kasey dengan lebih 80 pukulan.

Nicol bagaimanapun terus bertahan dan berjaya melakukan serangan balas.

“Kasey benar-benar melawan. Jika tersilap sedikit dia pasti mengambil kesempatan,” kata Nicol yang menyifatkan permainan atlet skuasy wanita semakin meningkat dan cuba merapatkan jurang dengannya.

“Memang sentiasa ada cabaran, setiap kali meningkatkan rentak permainan, mereka akan cuba mengatasinya tapi saya sudah sedia menghadapi sebarang cabaran,” katanya.

Perlawanan seterusnya buat Nicol adalah ulangan final 2009 di Amsterdam apabila menentang Natalie Grinham yang menghalang misi pertemuan separuh akhir antara dua pemain negara.

Natalie menewaskan Low Wee Wern 11-7, 11-7, 11-5, biarpun hidungnya luka hingga menyebabkan perlawanan ditangguhkan 10 minit pada awal set ketiga.

Satu lagi perlawanan separuh akhir membabitkan Samantha Teran, pemain Mexico pertama mara ke separuh akhir Terbuka Dunia dan Jenny Duncalf, pilihan kedua dari England. - AFP

No comments:

Post a Comment