Monday 14 November 2011

Bierhoff laung amaran (15/11/2011)

BERLIN: Pengurus skuad bola sepak Jerman, Oliver Bierhoff yakin pasukannya yang turun menentang Belanda pada perlawanan persahabatan hari ini kini bersedia menjulang trofi pertama sejak 1996 pada Euro 2012.
Jerman yang mengesahkan tempat ke kejohanan itu selepas menang semua 10 perlawanan kelayakan akan dapat menggunakan semula khidmat Manuel Neuer selain penyerang, Miroslav Klose dan Marco Reus selepas mereka pulih daripada kecederaan.

Jurulatih Joachim Loew akan menggugurkan beberapa pemain yang diperkenalkannya ketika seri 3-3 dengan Ukraine, termasuk tiga pemain pertahanan yang dilihat kurang memberangsangkan.
Beliau dijangka menurunkan penjaring terbanyak Bundesliga, Mario Gomez dan Klose untuk bergandingan di jentera serangan dalam format 4-4-2 yang sudah tidak digunakannya selama dua tahun.

“Ia perlawanan yang penting. Kami ingin memberi isyarat mampu menewaskan pasukan terbaik,” kata Bierhoff menjelang perlawanan di Hamburg itu.

“Kami mahu menamatkan saingan musim ini dengan kemenangan dan andai menewaskan Belanda, pasti ia menambahkan kegembiraan kami.” Jerman, juara Eropah tiga kali menjulang piala itu buat kali terakhir pada 1996.

Naib juara Piala Dunia tahun lalu, Belanda yang sering menjadi seteru utama Jerman, diejek penyokong sendiri selepas seri tanpa jaringan ketika bertemu Switzerland, Jumaat lalu. Belanda yang juga sudah mengesahkan tempat ke Euro 2012 berharap dapat mempamerkan aksi lebih baik awal pagi esok meskipun tanpa pembabitan pemain utama, Robin van Persie dan Rafael van der Vaart. - Reuters

No comments:

Post a Comment