Wednesday 23 November 2011

14 pasukan beradu rebut Piala Maba (24/11/2011)

SEBANYAK 14 pasukan berentap bagi meraih gelaran juara Kejohanan Bola Keranjang Kebangsaan Piala Persatuan Bola Keranjang Malaysia (Maba) kali ke-17 yang berlangsung di gelanggang bola keranjang Kubang Buaya, Kuantan.
Kejohanan lapan hari yang dijadualkan berakhir Ahad ini menyaksikan juara tahun lalu, Pahang tampil penuh bersemangat bagi mempertahankan kejuaraan.

Penolong Setiausaha Kehormat Maba, Steven Lee Teng Sun berkata, penyertaan 14 pasukan itu yang terbanyak sejak kejohanan itu diperkenal 17 tahun lalu.
Malah, menurutnya, penyertaan daripada kaum Melayu dan India juga semakin menggalakkan sehingga ada yang berjaya mewakili negara ke Sukan Sea tahun ini.

“Sebelum ini, ramai menganggap sukan ini hanya dipelopori kaum Cina saja. Tetapi, tanggapan itu tidak tepat kerana kita sudah mempunyai pemain Melayu dan India yang cemerlang.

“Justeru, kejohanan kali ini diharap dapat menyuntik semangat pemain bagi meningkatkan prestasi masing-masing.
“Bagi menarik lebih banyak penyertaan daripada pelbagai kaum, kami harap sukan ini dapat diperkenalkan sebagai aktiviti kokurikulum di institusi pengajian tinggi awam dan swasta (IPTA/S),” katanya pada majlis perasmian kejohanan yang disempurnakan Timbalan Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Saifuddin Abdullah.

Sementara itu, Saifuddin berkata, sukan itu mempunyai peminat tersendiri malah ia bukan sukan untuk satu kaum saja.
Justeru, beliau bangga melihat penyertaan memberangsangkan pada kejohanan kali ini.

Antara kontinjen yang berentap merebut kejuaraan tahun 2011 ialah Kedah, Sarawak, Terengganu, Kelantan, Kuala Lumpur dan Perlis.

No comments:

Post a Comment