Saturday 9 April 2011

Vettel menunjukkan ' Taring '


SELEPAS mempamerkan aksi kurang meyakinkan pada sesi latihan bebas kelmarin, juara dunia, Sebastian Vettel menunjukkan taring sebenarnya apabila mencatatkan masa terpantas pada sesi kelayakan Grand Prix Formula Satu Malaysia di Litar Antarabangsa Sepang semalam sekali gus meraih petak pertama pada perlumbaan sebenar, hari ini.
Pemandu Red Bull itu yang sekadar menduduki tempat keempat pada sesi latihan bebas, ternyata ingin membuktikan sesuatu apabila memintas catatan masa pemandu McLaren Mercedes, Lewis Hamilton di saat akhir sesi kelayakan semalam dengan catatan masa terbaik 1 minit 34.870 saat.

Hamilton yang pada awalnya dilihat mampu meraih petak pertama, terpaksa berpuas hati dengan tempat kedua dengan catatan masa 1:34.974 sementara rakan sepasukan Vettel, Mark Web- ber yang mengungguli dua sesi latihan bebas kelmarin, ketiga dengan catatan 1:35.179s.

“Ini adalah keputusan yang amat bagus selepas saya agak bergelut untuk mencari rentak pada sesi latihan bebas semalam (kelmarin). Segala-galanya tampak berjalan dengan lancar dan akhirnya saya dapat mencatatkan masa terbaik meskipun pada saat-saat akhir.

“Apapun, terima kasih kepada rakan sepasukan yang banyak melakukan kerja untuk memastikan kereta saya berada dalam keadaan sempurna hari ini (semalam),” kata Vettel yang memenangi perlumbaan di Malaysia, tahun lalu.

Tempat keempat pula diraih oleh juara dunia 2009, Jenson Button dari McLaren Mercedes dengan catatan masa 1:35:200s.
Sementara Ferrari dilihat masih bergelut untuk menyaingi Red Bull mahupun McLaren Mercedes apabila pemandu mereka, Fernando Alonso sekadar menduduki tempat kelima dengan catatan 1:35.802s manakala Felipe Massa ketujuh (1:36.251s).

Sementara itu, juara dunia tujuh kali, Michael Schuma- cher yang mempamerkan prestasi memberangsangkan pada sesi latihan bebas kelmarin, sekadar menduduki tempat ke-11.

Manakala jentera Team Lotus yang dipunyai pemilik penerbangan tambang murah AirAsia, Datuk Seri Tony Fernandes nyata belum dapat menandingi pasukan pertengahan apabila kedua-dua pemandu mereka, Heikki Kovalainen dan Jarno Trulli terpaksa berpuas hati dengan petak ke-19 dan 20 pada perlumbaan sebenar hari ini.

No comments:

Post a Comment