Thursday 21 April 2011

Masalah tempat latihan (2011/04/21)

“SEKIRANYA Sabah tidak berminat menyediakan tempat latihan skuad olahraga negara di Ranau, kami terpaksa ambil tindakan memindahkan atlet ke tempat lain.
Tapi kami akan beri masa kepada mereka sehingga bulan ini,” kata Timbalan Presiden Kesatuan Olahraga Amatur Malaysia (KOAM), Karim Ibrahim.

Kenyataan orang kuat badan induk olahraga tanah air itu tampak seperti sudah berpatah arang dengan rancangan menempatkan atlet di Kompleks Sukan Ranau selepas Pengurus Besar, Lembaga Sukan Negeri Sabah (LSNS), Mahmood Kalong menyatakan, pihaknya tidak mempunyai peruntukan untuk menyediakan peralatan bagi kegunaan latihan atlet negara di negeri itu.
“Trek itu sudah siap hampir setahun dan sekarang kami cuma minta peralatan untuk kegunaan atlet pecut, kami bukan minta gimnasium atau mahu guna bangunan kompleks sukan ini dan kos peralatan itu bukannya mahal, tidak sampai RM10,000.

“Saya pelik walaupun Menteri Belia dan Sukan Sabah, Datuk Peter Pang (En Yin) sudah meminta pihak Lembaga Sukan Negeri Sabah mendapatkan peralatan itu dari Tawau atau Kota Kinabalu, tapi sampai sekarang kami belum mendapat sebarang jawapan. “Kalau pada awal ada pihak yang cuba menghalang latihan di Ranau tapi sekarang Mahmood pula melambat-lambatkan program ini. Kenapa Mahmood susah sangat nak terima arahan menteri?” katanya kepada pemberita pada sidang media semalam.

Isu program latihan persediaan atlet ke Sukan Sea Palembang di Ranau mencetuskan kontroversi awal tahun ini apabila LSNS menjelaskan kompleks itu belum dilengkapi kemudahan asas serta belum mendapat Sijil Layak Menduduki CF sejak pembinaan dimulakan pada 2007.
Namun KOAM tetap berkeras untuk menggunakan kawasan beraltitud tinggi itu sebagai lokasi latihan atlet mereka selewat-lewatnya bulan ini.

Karim berkata, pihaknya tidak boleh menunggu lebih lama untuk menjalankan program latihan atlet memandangkan mereka sudah rugi empat bulan.

Dan dengan kekangan kewangan dihadapi, KOAM sebenarnya sukar mendapatkan lokasi latihan di tempat lain selain kekal berlatih di Majlis Sukan Negara, Bukit Jalil.

“Latihan di tempat lain adalah di Eropah tapi perbelanjaannya pula tinggi. Bila berlatih di luar atlet lebih berdisiplin dan tidak akan meninggalkan latihan. “Niat kami untuk mengadakan latihan di sana adalah untuk mendisiplinkan atlet. Kami tidak mahu lagi ada masalah bila atlet berlatih di trek, jurulatih tak ada dan bila jurulatih berada di trek, atlet pula tidak ada,” katanya.

No comments:

Post a Comment