Thursday 21 April 2011

Johor FC makin tenat (2011/04/21)

SELEPAS berakhir pusingan pertama Liga Super, Johor FC jelas mempamerkan aksi terburuk tatkala sekadar menghuni tangga ke-11 dengan hanya mengumpul 13 mata selain sekadar mampu mencipta tujuh gol selepas 13 perlawanan.
Senario itu membuktikan skuad bergelar Lebah tidak memiliki barisan serangan berkemampuan dan terlalu bergantung kepada pelatih skuad kebangsaan, Shahrizal Saad dan Mohd Rashid Aya.

Berada di kelompok bawahan liga turut mengundang persoalan betapa sasaran awal pengurusan Johor FC berazam merangkul sekurang-kurang satu piala - Piala Liga atau Piala Malaysia hanya janji manis yang sering bermain di bibir pihak atasan kelab itu tapi hasilnya mengecewakan.
Yang pasti tugas berat menanti jurulatih Azuan Zain selepas mengambil alih selaku pembimbing dari Ramlan Rashid untuk mencari resipi terbaik bagi mengubah nasib skuad Lebah yang dianggap sudah tenat.

“Walaupun aksi terakhir pusingan pertama menentang T-Team berakhir seri 1-1, saya puas hati dengan persembahan pemain biarpun menurunkan pemain muda dan simpanan.

“Saya masih yakin pemain mampu bangkit dan apa mereka perlu melupakan pengalaman pahit saingan pusingan pertama dan beri tumpuan pusingan kedua.
“Kami serik seri atau kalah dan mensasarkan kemenangan dalam baki 13 perlawanan untuk keluar daripada zon penyingkiran,” katanya.

Azuan juga menegaskan tidak akan berkompromi dengan pemain yang gagal pamer aksi meyakinkan pada pusingan pertama sebaliknya sudah menilai pemain mana yang layak beraksi dalam kesebelasan utama.

“Pertemuan kedua menentang T-Team, Sabtu ini harus dirancang dengan rapi kerana saya idamkan mata penuh dan pemain harus beri kerjasama bagi mencapai sasaran melakar kemenangan pertama di tempat sendiri,” kata Azuan.

No comments:

Post a Comment