Wednesday 27 April 2011

Sasar kelompok empat pasukan terbaik (2011/04/27)

MENAMATKAN cabaran dalam kelompok empat pasukan terbaik adalah sasaran skuad hoki Malaysia menjelang kancah saingan Piala Sultan Azlan Shah ke-10 di Ipoh pada 5 sehingga 15 Mei ini. 

Setiausaha Persekutuan Hoki Malaysia (PHM), Maninderjit Singh berkata, jika mampu melakukannya ia tetap dianggap pencapaian terbaik memandangkan kejohanan kali ini disertai oleh pasukan yang berada dalam 10 ranking terbaik dunia.


Maninderjit yang lebih dikenali dengan panggilan mesra “Mike” berkata Australia selaku juara dunia menduduki ranking pertama manakala Britain (keempat), Korea Selatan (keenam), Pakistan (kelapan) dan India (sembilan). Manakala Malaysia berada pada ranking ke-15 Persekutuan Hoki Dunia (FIH).
“Kejohanan kali ini disertai pasukan yang menduduki ranking tertinggi semasa. Jika Malaysia mampu menamatkan cabaran dalam kelompok empat terbaik saya kira sudah cukup bagus,” katanya selepas majlis mempromosi kejohanan di Tol Ipoh Selatan, Ampang Lebuhraya Plus Selatan-Utara oleh Pengerusi Jawatankuasa Pengelola, Datuk Abdul Rahim Mat Ariff, semalam. 

Pada majlis itu Abdul Rahim yang juga Naib Presiden PHM menyampaikan cenderahati beg berisi jadual pertandingan poket, pelekat kereta dan minuman isotonik kepada pengguna lebuhraya dari arah Selatan. 

Sementara itu, Abdul Rahim yang juga Presiden Persatuan Hoki Perak (PHP) berharap peminat hoki akan hadir beramai-ramai ke stadium setiap hari untuk memeriahkan kejohanan jemputan berprestij itu serta memberi sokongan kepada pasukan negara. 

Rahim juga mengumumkan penubuhan kelab peminat hoki Perak (KPHP) diterajui seorang ahli perniagaan, Datuk Amaluddin Ismail yang akan menyemarak sokongan kepada pasukan negara bersama kumpulan penyokong terdiri daripada pelajar sekolah.

No comments:

Post a Comment