Friday 22 April 2011

Masih pilihan La Liga (2011/04/23)

Guardiola yakin tumpuan tak jejas walau tewas kepada Real 

BARCELONA: Real Madrid berpesta selepas menjuarai Piala Raja Sepanyol tetapi finalis yang tewas, Barcelona masih menjadi pilihan untuk merangkul gelaran liga dengan kelebihan lapan mata ketika bersedia menghadapi Osasuna, hujung minggu ini.


Dua pasukan Sepanyol yang mendominasi bola sepak domestik musim ini dan fokus mereka adalah empat pertembungan sesama sendiri sepanjang 18 hari yang akan menentukan kejayaan di dalam dan luar negara.
Ketika dua pasukan itu bertemu di Nou Camp musim luruh lalu, Barcelona membelasah Real 5-0 manakala pada ulangan mereka seri 1-1. 

Dua musuh tradisi itu bertemu pada final Piala Raja Sepanyol Rabu lalu dengan Real meraih kemenangan 1-0 hasil jaringan masa tambahan Cristiano Ronaldo. 

“Bagus untuk menang berbanding kalah tetapi anda tidak mungkin menang setiap masa. Kini kami perlu mengumpul kekuatan dan mempersiapkan diri bagi hujung minggu ini. Kami sudah melakukannya sebelum ini, pemain pasukan ini sudah bersama untuk tempoh yang lama dan kami sudah bersedia,” kata jurulatih Barca, Pep Guardiola. 

Menanti di depan mereka ialah dua perlawanan menentang Real dalam Liga Juara-Juara tetapi Guardiola tidak mahu mengalih tumpuannya. 
“Kami masih ada enam perlawanan liga dan kami perlu melengkapkannya secepat mungkin. Selepas menentang Osasuna, kami boleh memikirkan mengenai separuh akhir Liga Juara-Juara dan kemungkinan ke Wembley (bagi final),” katanya. 

Real yang turun menentang Valencia di gelanggang lawan, mengumpul 12 gol dalam tiga perlawanan terakhir mereka. – AFP

No comments:

Post a Comment