Tuesday 26 April 2011

Sanjung gol kemenangan (2011/04/26)

BOLTON: Bos Bolton, Owen Coyle menghambur pujian terhadap Tamir Cohen selepas perancang Israel itu 'menghadiahkan' gol kepada mendiang bapanya dengan jaringan kemenangan 2-1 ke atas Arsenal. 

Cohen menanduk masuk bagi memastikan pasukannya mengutip tiga mata dan meraikan jaringan itu dengan menanggalkan jersi pasukan dan mendedahkan baju-T yang tertera gambar Avi Cohen, bekas pemain Liverpool yang terbunuh dalam kemalangan motosikal, Disember tahun lalu.


“Ia kemenangan yang begitu bermakna buat Tamir yang kehilangan bapanya. Sewajarnya dia memperoleh gol kemenangan pasukan,” kata Coyle.
“Dia berdepan tahun yang sukar. Dia menjalani pembedahan musim panas lalu dan kemudian kembali tetapi jauh ketinggalan berbanding pemain lain daripada segi kecergasan dan perlu bekerja keras untuk merebut kembali tempat dalam pasukan.” 

Coyle mendedahkan Avi Cohen ‘menghabiskan sepanjang minggu di padang latihan’ tahun lalu. 

“Tamir mempunyai tanggungjawab yang besar sebagai ketua keluarga. Dia berlatih setiap hari seolah-olah ia adalah hari terakhirnya.” 

Pemain tengah Bolton itu dilayangkan kad kuning kerana menanggalkan jersi ketika meraikan gol itu. 
“Saya masuk untuk memastikan gol tidak ditembusi ketika 1-1 dan gembira dapat menjaringkan gol. Ini detik penuh emosi saya musim ini.” – AFP

No comments:

Post a Comment