Friday 29 April 2011

Bakal dipasang di Malaysia (30/4/2011)

VARIASI model kereta sport Caterham, Caterham Seven yang mempunyai reputasi tinggi di kalangan peminat sukan permotoran, bakal dipasang di Malaysia. 

Peneraju Team Lotus Enterprise yang mengambil alih 100 peratus pegangan dalam syarikat Caterham Cars Limited, Datuk Kamarudin Meranun berkata, cadangan itu termasuk dalam pelan pengembangan syarikat itu yang mensasarkan Malaysia sebagai hab sukan permotoran dan pusat pengedaran jenama Caterham bagi rantau Asia.
“Kami menganggap pengambilalihan syarikat Caterham ini sebagai satu lagi platform untuk meneroka lebih jauh dalam sukan permotoran serta mengeluarkan kereta sport sendiri pada harga mampu dimiliki tanpa mengenepikan kualiti,” katanya selepas menghadiri majlis pengumuman rasmi Lotus Team Enterprise mengambil alih Caterham, pembuat kereta lumba pasang sendiri (kit) terkemuka dunia.
Jentera Caterham kini berlumba dalam 17 perlumbaan di seluruh dunia termasuk di Asia Barat, Amerika Syarikat, Jerman dan Perancis. Kemampuan Caterham Seven melakukan pecutan dari 0 hingga 100 kilometer sejam dalam masa kurang tiga saat, meletakkannya antara kereta terpantas dunia, setanding kemampuan Ferrari. 

Pengumuman itu dibuat bersama seorang lagi pemilik Lotus Team Enterprise, Datuk Seri Tony Fernandes yang bersama-sama Kamarudin dan Pengerusi Eksekutif Bersama Kumpulan Naza, SM Nasarudin SM Nasimudin, pemilik pasukan Formula Satu (F1), Team Lotus. 

Hadir sama, Ketua Pegawai Eksekutif Caterham, Ansar Ali. 

No comments:

Post a Comment