Saturday 9 April 2011

Kejutan dari Heidfeld


SEPANG - Selepas pemandu Lotus Renault, Vitaly Petrov mencipta kejutan apabila berjaya menaiki podium pada Grand Prix (GP) Australia, dua minggu lalu, kali ini giliran rakan pasukannya, Nick Heidfeld pula cuba untuk mencatat sebuah lagi lakaran kecemerlangan buat pasukan yang mempunyai kaitan dengan Malaysia itu.
Heidfeld mencatat keputusan menyakinkan pada pusingan kelayakan GP Formula Satu Petronas Malaysia, semalam apabila berada di kedudukan keenam dan sekali gus, meletakkan pelumba berusia 33 tahun itu berada pada barisan yang sama dengan pemandu Ferarri, Fernando Alonso dalam perlumbaan, hari ini.
Pemandu kelahiran Jerman itu berkata, dia amat berpuas hati dengan prestasi yang dipamerkan pada pusingan kelayakan berbanding ketika sesi sesi latihan bebas yang diadakan, kelmarin.
"Pada sesi latihan bebas, kelmarin, kami gagal melakukan lebih banyak pusingan dan tidak mempunyai masa yang cukup untuk memastikan jentera kami berada dalam keadaan terbaik," katanya dalam kenyataan akhbar di sini, semalam.
Pada GP Australia di Albert Park, Melbourne, Heidfeld yang menggantikan pemandu utama Lotus Renault, Robert Kubica yang terbabit dalam kemalangan, Februari lalu sekadar menamatkan saingan di kedudukan ke-12.
Menurut Heidfeld, prestasi yang baik pada pusingan kelayakan ketiga telah mendorongnya untuk mencatat keputusan lebih baik berbanding kelayakan pertama dan kedua.
Malah, pemandu itu turut melahirkan rasa gembiranya terhadap pencapaian di Sepang berbanding ketika bersaing di Melbourne.

No comments:

Post a Comment