Wednesday 27 April 2011

Akui sukar (2011/04/28)

ESTORIL: Bekas juara Terbuka AS, Juan Del Potro bergelut untuk menewaskan pemain ranking ke-488 dari Portugal, Pedro Sousa tatkala pemain handalan Argentina itu membuat permulaan kurang meyakinkan untuk musim gelanggang tanah liatnya di Terbuka Estoril, kelmarin. 

Del Potro yang hanya bermain tiga kejohanan tahun lalu selepas pembedahan pergelangan tangan kanan, mencatat kemenangan 6-2, 3-6, 6-3 selepas bertarung hampir dua jam dengan pemain pusingan kelayakan, Sousa yang menampilkan aksi membanggakan buat penyokong tuan rumah.


“Saya suka bermain di sini dan berdepan perlawanan yang sukar hari ini. Dia bermain begitu bagus di tempat sendiri tetapi saya gembira mara ke pusingan seterusnya,” kata Del Potro.
Sousa, 22, bermain perlawanan pertama peringkat ATP, memenangi satu set menentang bekas pemain yang pernah menduduki senarai lima terbaik dunia itu dan menyelamatkan dua mata akhir - yang kedua menerusi pukulan lambung - sebelum akhirnya tewas. 

Sepanjang perlawanan itu, dia mengatasi Del Potro dari segi servis ace sebanyak enam berbanding empat dan dua kali merampas mata daripada servis pemain pilihan kelapan itu. 

Aksi Del Potro di gelanggang tanah liat minggu ini adalah yang pertama baginya tahun ini selepas berehat dari aksi gelanggang keras di Miami. 
Penampilan terakhirnya di gelanggang tanah liat ialah di Terbuka Perancis 2009. 
Dalam bahagian wanita, tiga pemain pilihan mara tetapi pilihan keempat, Anastasija Sevastova dari Latvia tewas kepada pemain Poland, Ursula Radwanska 5-7, 7-6 (7/5), 6-1. 

Layak ke pusingan kedua ialah pilihan kedua, Jarmila Gajdosova yang menewaskan pemain Republik Czech, Renata Voracova 6-4, 6-0 dan pilihan ketiga, Klara Zakopalova, yang menewaskan Beatriz Garcia Vidagany dengan keputusan 6-4, 7-6 (7/3). 

Pilihan kelapan dari Hungary, Greta Arn menewaskan pemain Portugal, Maria-Joao Koehler 6-2, 3-6, 6-3. – AFP

No comments:

Post a Comment