Friday 22 April 2011

Fuad undur diri. (2011/04/23)

KEHADIRAN pelumba veteran, Ahmad Fuad Baharudin dalam kategori SuperSports 600cc tidak lagi dapat disaksikan apabila Kejuaraan Motosikal Asia Petronas 2011 (ARRC) membuka tirai musim ini di Litar Antarabangsa Sepang (Litar Utara) pada 29 April hingga 1 Mei ini.
Fuad yang beraksi 10 tahun di katergori itu percaya ini merupakan masa terbaik untuk mengundurkan diri dari ARRC. Dia mahu memberi ruang kepada pelumba muda berbakat untuk beraksi dalam SuperSports 600cc.

“Saya belum bersara dari perlumbaan SuperSports 600cc memandangkan masih berminat untuk terus beraksi di kategori ini.
“Namun, bukan di pentas ARRC kerana saya lihat kehadiran ramai pelumba muda berpotensi besar. Dengan ini, saya harap pengunduran ini akan memberi manfaat kepada pelumba yang bakal mengambil alih tempat saya,” kata pelumba berusia 32 tahun itu.

“Selain itu, bekas rakan sepasukan di Petronas Yamaha Malaysia, Mohd Zamri Baba dan Azlan Shah Kamaruzaman beraksi dengan begitu baik dalam kategori ini. “Kini mereka tidak lagi bergantung kepada saya untuk membantu dan memberi tunjuk ajar. Saya bangga dengan pencapaian mereka dan berharap keputusan selepas ini akan membanggakan rakyat Malaysia.

“Saya sudah menjalankan tanggungjawab dengan berkongsi pengalaman dan pengetahuan dengan Azlan dan Zamri dan kini tanggungjawab sepenuhnya terletak di bahu merekauntuk membimbing pelumba baru,” kata Fuad yang berada di kedudukan ke-10 keseluruhan tahun lalu manakala Azlan dan Zamri di tempat ketiga dan keempat keseluruhan.
Menyentuh karier Supersports 600cc, Fuad berkata: “Perbincangan kini diadakan bersama Hong Leong Yamaha Motor Sdn Bhd untuk menaja saya menyertai Malaysia Super Series (MSS).

“Masih belum ada sebarang keputusan tapi semoga semuanya berjalan lancar. Apapun yang berlaku, saya akan terus berusaha untuk beraksi dalam perlumbaan SuperSports 600cc.” Fuad memulakan karier antarabangsanya pada 2000 dengan menyertai kategori GP125 dan mula mengambil bahagian dalam SuperSports 600cc tahun berikutnya. Pencapaian terbaiknya dikecapi pada 2007 apabila menamatkan muncul naib juara keseluruhan, ketinggalan hanya lapan mata kepada pelumba Thailand, Decha Kraisart yang muncul juara manakala pada 2008, Fuad sekali lagi berada di kedudukan sama, kali ini ketinggalan 13 mata kepada pelumba Jepun, Toshiyuki Hamaguchi.

No comments:

Post a Comment