Thursday 21 April 2011

Tersingkir awal (2011/04/22)

DUA beregu senior gagal meneruskan kemaraan ke pusingan kedua Kejohanan Badminton Asia (ABC) selepas terkandas di pusingan pertama semalam.
Zakry Latif-Hoon Thien How gagal menyaingi kehebatan pasangan nombor enam dunia, Markis Kido-Hendra Setiawan dari Indonesia biarpun sudah memberi persembahan terbaik.

Gandingan itu tewas 21-17, 17-21, 21-16, sekali gus menutup peluang mereka untuk beraksi di Kejohanan Dunia, kerana ketika ini berada di ranking ke-36 dunia.
Kegagalan Zakry-Thien How itu dituruti aksi longlai Fairuzizuan Tazari-Ong Soon Hock yang tewas kepada satu lagi pasangan Indonesia, Alvent Yulianto-Hendra Aprida 17-21, 17-21.

“Saya rasa Zakry-Thien How dan Fairuz-Soon Hock sukar untuk melayakkan diri ke Kejohanan Dunia. Jika mereka mahu beraksi di Birmingham, mereka sepatutnya melangkah ke suku akhir, pencapaian paling rendah yang perlu dicapai,” kata jurulatih beregu Rexy Mainaky di ibu negara.

Nasib bagaimanapun menyebelahi gandingan pelapis negara, Goh Wei Shem-Lim Kim Wah yang ke pusingan kedua tanpa perlu beraksi selepas gandingan Korea, Lee Yong Dae- Shin Baek Cheol memberi kemenangan percuma.
Wei Shem-Kim Wah akan menentang pemain Thailand Songphon Anugritayawon-Sudket Prapakamol di pusingan kedua hari ini.

Nasib sama menimpa pemain perseorangan apabila dua daripada tiga pemain kandas di pusingan kedua, meninggalkan Liew Daren berseorangan di pusingan ketiga hari ini.

Daren berjaya mengatasi pilihan ke-13 dari Hong Kong Wong Wing Ki 22-20, 23-21 akan berdepan pilihan keenam dari China, Du Pengyu.

Mohd Arif Latif tewas kepada pilihan ke-11 dari Jepun, Sho Sasaki 21-18, 21-12, manakala Goh Soon Huat gagal mencabar pilihan kelima, Chen Jin dari China apabila tewas 21-10, 21-8.

Selain satu beregu dan perseorangan lelaki, cabaran pemain negara hari ini turut digalas dua beregu wanita, Marylen Ng Poau Leng-Woon Khe Wei dan Vivian Hoo-Lim Yin Loo dan perseorangan wanita, Lydia Cheah yang melepasi pencabar masing-masing.

No comments:

Post a Comment