Thursday 21 April 2011

Lampu hijau (2011/04/22)

HASRAT jurulatih skuad hoki negara, Tai Beng Hai yang berharap agar barisan pemain skuad negara dibenar menjalani latihan bersama ketika berlangsungnya saingan Liga Hoki Malaysia (LHM) bagi mengekalkan prestasi mendapat reaksi positif daripada Persekutuan Hoki Malaysia (PHM).
Setiausaha PHM, Maninderjit Singh berkata, PHM tiada mempunyai sebarang halangan malah sedia memberi lampu hijau kepada Beng Hai untuk memberi kelonggaran kepada barisan pemain negara menjalani latihan bersamanya meskipun LHM sedang berlangsung.

Beng Hai sebelum ini menyuarakan kebimbangan mengenai barisan pemainnya menjelang saingan Piala Sultan Azlan Shah bulan depan selepas ada sebilangan pemain gagal melepasi ujian kecergasan kerana beberapa faktor, antaranya tidak kerap beraksi pada saingan LHM.
Justeru, Beng Hai berharap, perkara itu dapat dilaksanakan pada saingan liga yang dijadual bermula September ini kerana jika tidak, beliau bimbang berdepan masalah sama kerana selepas saingan liga, skuad negara akan menyertai Cabaran Juara-Juara 1.

“Menjalani latihan bersama skuad negara ketika berlangsungnya saingan liga sebenarnya bukanlah satu perkara baru, malah perkara ini sudah lama dipraktikkan, iaitu sejak zaman saya mewakili negara.

“Justeru, PHM tiada masalah malah memberi sokongan sepenuhnya andai Beng Hai mahu mengadakan latihan sekurang-kurangnya sekali dalam tempoh seminggu.
“Apapun, segala-galanya bergantung kepada permintaan Beng Hai. Jika benar dia serius dan mengemukakan permohonan kepada kami, PHM akan memanjangkan perkara ini dalam mesyuarat,” katanya.

Bagi Maninderjit, apa yang bermain di kotak fikiran Beng Hai itu sebenarnya satu langkah positif dalam usaha mengekalkan serta meningkatkan prestasi skuad negara menjelang aksi di kejohanan besar.

No comments:

Post a Comment