Thursday 21 April 2011

Akan dikaji semula (2011/04/22)

PEMBABITAN Hafiz Sufian dalam skuad negara bakal dikaji semula dan pelumba itu berkemungkinan besar tidak akan disenaraikan semula ke skuad negara yang akan menjalani latihan di Melborune.
Bagaimanapun, pengalaman pelumba yang pernah menghasilkan pingat perak dan gangsa di Kejohanan Berbasikal Asia (ACC) di Indonesia tahun lalu diperlukan untuk membantu skuad negara di Sukan Sea. Timbalan Presiden, Persekutuan Berbasikal Malaysia (PKBM), Datuk Naim Mohamad berkata, Hafiz mungkin menjalani latihan di Malaysia. “Setakat ini, hanya tiga nama iaitu Azizulhasni Awang, Mohd Edrus Md Yunos dan Fatehah Mustafa berada dalam senarai utama yang akan kembali ke Melbourne untuk terus menjalani latihan selain Josiah Ng yang memang sudah menetap di sana.

“Selain itu, pelumba remaja negara, Mohd Arfy Qhairant Amran juga akan ke Melbourne buat sementara waktu untuk persediaan Kejohanan Remaja Dunia,” katanya.
Bagaimanapun, kehadiran pakar 1 kilometer ujian masa, Rizal Tisin juga akan dipertimbangkan berikutan acara kegemarannya itu tidak dipertandingkan di Sukan Olimpik.

“Bagi Rizal, terpulang kepadanya untuk terus berada di Malaysia atau kembali ke Melbourne. Dia boleh terus menjalani latihan di Malaysia di bawah kendalian jurulatih tempatan dan jika mahu memberi tumpuan kepada acara BMX, mungkin ada baiknya,” katanya.

Jelasnya, jika prestasi Rizal dalam BMX memberangsangkan, Rizal mungkin berpeluang layak ke Sukan Olimpik ketika acara pecut berpasukan terpaksa berusaha keras mengejar kedudukan Jepun yang kini mendahului 300 mata dalam kategori Asia.
Naim berkata, dalam acara pecut berpasukan, skuad negara masih mempunyai peluang tapi terpaksa berusaha keras pada sesi kelayakan kedua bermula pertengahan tahun ini dengan saingan Piala Dunia pula berlangsung hujung tahun.

“Kedudukan pecut berpasukan masih lagi ditimbangkan. Kita masih ada peluang kerana dalam kedudukan Asia, dua pasukan teratas akan layak beraksi di Olimpik yang kini didominasi China dan Jepun.

“Saya merasakan tempat Rizal sebagai pelumba ketiga negara mungkin dipertimbangkan semula seandainya kita gagal beraksi dalam acara pecut berpasukan,” katanya.

No comments:

Post a Comment