Friday 22 April 2011

Perlu fokus (2011/04/23)

MANCHESTER: Michael Carrick menggesa rakan sepasukan Manchester United melupakan minggu mengecewakan bagi bersedia mengharungi saingan getir lima perlawanan dalam tempoh 15 hari yang bakal menentukan nasib mereka musim ini.
Selepas melihat peluang mencipta treble dihalang Manchester City pada separuh akhir Piala FA, Sabtu lalu, skuad kendalian Sir Alex Ferguson yang menerajui liga ketika ini kehilangan dua mata apabila diikat seri tanpa jaringan oleh Newcastle Rabu lalu.

Meskipun diselubungi kekecewaan itu, United masih kekal di landasan tepat untuk merekod gelaran liga ke-19 dan mereka akan memiliki kelebihan sembilan mata mendahului pasukan di tangga kedua, Chelsea sekurang-kurangnya dalam tempoh beberapa jam jika menewaskan Everton di Old Trafford.
Kunjungan Everton yang kini berada di prestasi terbaik bakal menentukan sama ada United akan kembali merampas gelaran dan juga melakar kegemilangan dalam saingan Liga Juara-Juara.

Anak buah Ferguson akan berlepas ke Jerman untuk berdepan Schalke, Rabu ini bagi aksi separuh akhir pertama Liga Juara-Juara sebelum membuat perhitungan dengan pencabar gelaran, Arsenal di Stadium Emirates pada 1 Mei.

Jadual selepas itu semakin padat apabila Manchester menanti kunjungan Schalke bagi perlawanan kedua pada 4 Mei ini sebelum menjadi tuan rumah kepada Chelsea di Old Trafford pada 8 Mei.
Selepas perlawanan itu, Carrick sedar United boleh menjangkakan sejauh mana peluang mereka untuk merangkul dua kejuaraan.

“Kami masih dalam kedudukan yang baik,” kata Carrick. “Kami perlu mempamerkan aksi terbaik, itu yang perlu kami lakukan dalam perlawanan besar selepas ini.

“Kami akan menghadapi perlawanan sukar tapi Arsenal dan Chelsea juga berdepan situasi sama. Kami tidak mahu terlalu melihat kepada keputusan mereka, kami mahu memenangi perlawanan kami,” katanya.

Penyerang United, Michael Owen juga bakal memainkan peranan penting selepas banyak menghabiskan musim ini di bangku simpanan.

Dengan United gagal menjaringkan gol dalam dua perlawanan terakhir, Owen yang masuk sebagai pemain gantian pada lewat permainan menentang Newcastle memberikan pilihan buat Ferguson.

Owen mempunyai motivasi tambahan untuk membantu United menamatkan perebutan kejuaraan selaku juara apabila bekas bintang Liverpool itu tidak pernah memenangi gelaran Liga Perdana.

“Meraih sesuatu kejayaan dan memenangi piala adalah sebab utama saya menyertai Manchester United,” katanya.

“Saya beraksi dengan banyak kelab besar sepanjang karier saya namun tidak pernah berada dalam posisi terbaik di peringkat ini dalam satu musim seperti sekarang.

“Saya gembira bersama United. Malangnya, saya tidak dapat bermain banyak perlawanan seperti yang saya mahukan tapi untuk bersama pemain dan jurulatih bagus membantu saya menikmati setiap detik di sini,” kata Owen. - AFP

No comments:

Post a Comment