Thursday 21 April 2011

Ugut pindah (2011/04/22)

PARIS: Laporan akhbar harian sukan Perancis, L’Equipe semalam mendedahkan bahawa Samir Nasri antara lima pemain Perancis berprofil tinggi yang akan mempertimbangkan kedudukan sama ada akan terus bersama kelab gergasi Liga Perdana, Arsenal atau berpindah ke kelab lain.
Nasri yang dicalonkan bagi anugerah Pemain Terbaik Tahunan PFA musim ini dilaporkan akan meninggalkan kelab itu jika posisi idamannya, perancang tengah akan diisi pemain lain selepas Cesc Fabregas berkemungkinan akan berhijrah musim panas ini.

Nasri mempamerkan prestasi hebat pada pusingan pertama musim ini dengan menjaringkan 12 gol dalam 23 perlawanan namun sekembalinya Fabregas yang pulih daripada kecederaan menyebabkan pemain Perancis itu terpaksa beraksi di bahagian sayap.
Pemain antarabangsa Sepanyol, Fabregas sudah lama dikaitkan dengan perpindahan semula ke kelab lama, Barcelona dan dia turut mengeluarkan rasa tidak puas hati dengan mentaliti Arsenal untuk memburu kemenangan dalam satu temu ramah dengan majalah Sepanyol, Don Balon minggu ini.

L’Equipe mendakwa Inter Milan kini turut mengintai peluang mendapatkan Nasri.

Bagaimanapun, akhbar itu hanya menyatakan maklumat itu diperoleh daripada sumber dalaman kelab yang menyebut bahawa beberapa pemain Arsenal “kecewa dan percaya mereka memiliki peluang lebih baik jika beraksi dengan kelab lain.” L’Equipe berkata, Abou Diaby yang terpaksa mengharungi satu lagi musim sukar akibat kecederaan kecewa apabila kelab itu gagal memenangi trofi dan Chelsea, Manchester City, Inter serta Juventus berkemungkinan menjadi destinasinya selepas ini.
Pemain pertahanan, Bacary Sagna dan Gael Clichy serta Sebastien Squillaci juga dilaporkan sedang mempertimbangkan untuk berpindah dari kelab London itu yang tidak memenangi sebarang kejuaraan utama sejak merangkul trofi Piala FA 2005.

Penasihat Sagna, Christophe Mongai dipetik sebagai berkata: “Dia (Sagna) gembira di Arsenal. Tapi anda tidak tahu apa yang akan terjadi.” Daripada enam tonggak utama Arsenal dari Perancis, L’Equipe mendakwa hanya pemain pertahanan tengah, Laurent Koscielny yang menyertai kelab itu dari Lorient musim panas lalu akan kekal. - AFP

No comments:

Post a Comment