Friday 22 April 2011

Taja BAM 5 tahun (2011/04/23)

PERSATUAN Badminton Malaysia (BAM) sah menerima suntikan besar daripada Maybank apabila perjanjian persefahaman (MoU) antara kedua-dua pihak dimeterai bulan depan.
Pengurus Besar BAM, Kenny Goh mengesahkan berita itu dan memberitahu kedua-dua pihak sedang mencari tarikh yang sesuai.

“MoU dijangka ditandatangani pertengahan bulan depan. Ketika ini saya tidak dapat nyatakan bila tarikhnya kerana belum ada pengesahan pengurusan tertinggi kedua-dua pihak,” kata Kenny ketika diminta mengesahkan perkara itu.
Perbincangan penajaan Maybank dan BAM dikatakan berlangsung sejak tahun lalu namun tertangguh kerana beberapa isu termasuk isu peletakan jawatan Datuk Misbun Sidek yang membawa kepada kemungkinan anak didiknya Datuk Lee Chong Wei meninggalkan BAM.

Kesudian Chong Wei untuk kekal bersama BAM juga dikhabarkan ada kaitannya dengan penajaan Maybank ini.

Kenny ketika ditanya mengenai jumlah penajaan bagaimanapun enggan mendedahkannya. Begitupun, ada pihak mendakwa Maybank menyediakan dana besar berjumlah RM5 juta untuk menaja BAM selama lima tahun.
Dalam perkembangan lain, pemain remaja berkata Zulfadli Zulkifli dikatakan akan menyertai BAM bulan depan selepas bapanya Zulkifli Sidek yang sebelum ini enggan melepaskan anaknya dikatakan bersetuju memberi kebenaran demi kemajuan kerjaya Zulkifli.

Kenny ketika ditanya mengenai perkara tersebut berkata, beliau tidak tahu menahu mengenai perkara itu namun mengesahkan Jun ini, Zulfadli akan menyertai kem Kejohanan Badminton Remaja Asia, yang akan berlangsung pada Julai di India.

Bakat Zulfadli, 18, dikenal pasti sejak beraksi di peringkat umur 12 tahun lagi, namun Zulkifli tidak membenarkan anaknya menyertai program Sekolah Sukan Bukit Jalil (SSBJ) biarpun berkali-kali BAM meminta berbuat demikian.

Sebaliknya Zulkifli mendidik anaknya yang bernaung di bawah Persatuan Badminton Selangor (SBA) berjaya melakar dua kejayaan di Sweden, iaitu juara bawah 13 tahun Remaja Antarabangsa 2005 dan Juara Antara Remaja bawah 15 tahun Eropah pada 2006.

Banyak desas desus sebelum ini mengatakan tindakan Zulkifli tidak membenarkan Zulfadli menyertai BAM atau mengikuti program SSBJ disebabkan beliau mahu mengurus sendiri anaknya termasuk dari segi penajaan.

Namun kini, kesudian Zulkifli membenarkan anaknya menyertai BAM dikatakan ada kaitan dengan syarat yang pernah dinyatakan beliau kepada BAM, iaitu hanya akan memberi kebenaran jika beliau mendapat pekerjaan tetap.

Zulkifli kini dalam proses mendapatkan pekerjaan di Institut Sukan Negara (ISN), dan hal itu disahkan Ketua Pengarah ISN, Datuk Dr Ramlan Abdul Aziz.

“Memang kami ada menemuduga beliau satu ketika dulu, tapi jawatan itu sudah diisi. Kami memang perlukannya untuk menjaga satu unit yang baru tapi memerlukan masa untuk kelulusan Kementerian Belia dan Sukan (KBS) terlebih dulu,” kata Ramlan ketika dihubungi.

Ramlan merancang meletakkan Zulkifli mengetuai unit yang akan mengenalpasti bakat baru dan pembangunan atlet muda, sesuai dengan kelayakan dan pengalaman beliau.

No comments:

Post a Comment