Thursday 21 April 2011

Dalam tangan (2011/04/22)

NEWCASTLE: Sir Alex Ferguson yakin Manchester United semakin hampir merebut semula gelaran Liga Perdana Inggeris, namun memberi amaran kepada anak buahnya untuk tidak memandang remeh cabaran juara bertahan, Chelsea.
United yang mara ke separuh akhir Liga Juara-Juara terlepas peluang menjarakkan jurang ke sembilan mata berbanding Arsenal apabila seri tanpa jaringan dengan Newcastle United, semalam.

The Gunners turut seri 1-1 dengan Liverpool dan dengan lima baki perlawanan, Ferguson yakin tempoh semakin suntuk buat anak buah Arsene Wenger yang berdepan Tottenham Hotspur di White Hart Lane, awal pagi tadi.
“Saya yakin kami mampu muncul juara,” kata jurulatih dari Scotland itu.

“Kami jauh lebih baik berbanding Sabtu. Kini, perlawanan kurang satu perlawanan tapi kedudukan masih sama.” Ferguson bagaimanapun lebih bimbangkan anak buah Carlo Ancelotti yang dilihatnya mampu mengumpul mata penuh dengan menewaskan Birmingham City, West Ham United dan Spurs. Chelsea yang menduduki tangga ketiga ketinggalan sembilan mata di belakang United tapi beraksi kurang satu perlawanan dan juga bertandang ke Old Trafford, 8 Mei ini.

“Kami perlu waspada cabaran Chelsea kerana mereka beraksi tiga kali berturut-turut di tempat sendiri. Kami pula mempunyai dua perlawanan penting, menentang Arsenal dan Chelsea di tempat sendiri,” kata Ferguson.
Penggantungan lima perlawanan terhadap Ferguson berakhir di St James’ Park dan beliau akan kembali ke tempat duduk pemain apabila menanti kunjungan Everton Sabtu ini.

“Saya gembira tapi mungkin tidak buat anak buah saya,” katanya berjenaka.

Kesabaran Ferguson diuji di masa kecederaan menentang The Magpies, apabila penyerang dari Mexico, Javier Hernandez, dilayang kad kuning oleh pengadil, Lee Probert kerana didakwa sengaja menjatuhkan diri di kotak penalti.

“Keputusan itu salah. Prestasi pengadil memuaskan tapi insiden itu mengecewakan kerana Hernandez jelas dibentes lawan.

“Newcastle beraksi dengan baik pada awal babak 20 minit tapi saya yakin pasukan akan bangkit,” kata jurulatih berusia 69 tahun itu.

“Tapi saya gembira dengan tenaga dipamer pasukan.” The Red Devils akan berkunjung ke Schalke, Selasa depan untuk saingan separuh akhir pertama Liga Juara-Juara.

Kemudian, pasukan itu akan berkunjung ke Arsenal, 1 Mei ini sebelum beraksi pada perlawanan kedua menentang kelab Jerman itu.

Sementara itu, pengurus Newcastle, Alan Pardew yakin United mampu merebut gelaran.

“Saya rasa United akan memenangi liga. Dari segi kualiti, mereka pasukan terbaik yang pernah kami hadapi. Saya tidak nampak misi mereka merampas gelaran juara mampu dihalang,” katanya. - AFP

No comments:

Post a Comment