Thursday 21 April 2011

Jika mahu saya akan teruskan (2011/04/22)

“SAYA memang sudah putus asa tapi jika PKBM (Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia) dan MSN (Majlis Sukan Negara) masih mahu saya teruskan dalam acara trek, saya akan teruskan,” kata atlet berbasikal negara, Rizal Tisin.
Itu kata-kata yang dilafazkan pemenang pingat emas Kejohanan Berbasikal Asia (ACC) dalam acara 1 kilometer ujian masa di Korat itu selepas dikatakan akan menjadi punca pelaburan MSN dan PKBM lebur kerana mahu menarik diri daripada acara trek biarpun berada dalam senarai program Road to London.

Namun atlet kelahiran Klang, Selangor itu menegaskan, tiada niat untuk meninggalkan acara trek tapi selepas memikirkan masa depannya, keputusan perlu dilakukan demi kepentingan negara apabila acara kegemarannya 1km ujian masa tidak dipertandingkan di Sukan Olimpik London mahupun Kejohanan Dunia. “Keputusan beralih ke BMX diambil selepas berbincang dengan (John) Beasley tapi jika MSN dan PKBM masih mahu saya meneruskan latihan dalam acara trek, saya akan teruskan.
“John sudah mengatakan mustahil jika kita meneruskan usaha melayakkan diri dalam acara pecut berpasukan dan mengejar kedudukan China dan Jepun kerana jurang mata yang sangat jauh, justeru lebih baik saya menumpukan latihan acara BMX.

“Tapi jika MSN dan Timbalan Presiden PKBM, Datuk Naim (Mohamad) masih mahu terus mencuba, saya akan terus mencuba. Tiada apa yang rugi,” katanya.

Dengan catatan melebih 45 saat yang mampu dilakar kuartet pecut negara, atlet yang menghadiahkan pingat perak dalam acara 1km ujian masa di Sukan Komanwel itu juga berkata, terlalu sukar untuk mengejar Jepun dan China yang menduduki senarai teratas ranking Asia.
Jepun mengumpul 1,738.5 mata dan China 1,470, manakala Malaysia ketiga dengan 889.5 dan hanya dua negara terbaik Asia akan layak beraksi di Sukan Olimpik.

“Mungkin kuartet kita masih berpeluang jika mencatatkan masa bawah 45 saat seperti yang kami lakarkan pada di Sukan Olimpik Beijing 2008 menerusi kombinasi saya, Azizulhasni (Awang) dan Josiah Ng. Tapi kombinasi baru tanpa Azizul menang nampak sukar kerana belum pernah mencatat bawah 45 saat.” Keputusan Rizal itu juga menandakan dia tidak akan pulang ke Melbourne untuk menjalani latihan bersama Azizul dan juga Fateheh Mustapa di bawah kendalian Beasley sebaliknya akan terus kekal di Malaysia.

Justeru, Rizal berharap semua persoalan berhubung penarikan dirinya daripada acara trek tidak lagi dipersoal dan PKBM dan MSN terus membantu menaikkan sukan BMX bagi membolehkannya layak beraksi di Sukan Sea, Palembang dan ACC di Su Qian City, China, Mei ini.

No comments:

Post a Comment