Wednesday 27 April 2011

Kembali di GP Portugal (2011/04/28)

LONDON: Penunggang MotoGP Suzuki, Alvaro Bautista mungkin kembali berlumba di Portugal hujung minggu ini, 42 hari selepas dia mengalami kecederaan patah tulang paha. 

“Saya berusaha keras untuk memastikan dapat kembali berlumba di Estoril dan saya yakin mampu mengambil bahagian dalam perlumbaan itu,” kata pelumba Sepanyol itu dalam laman web pasukan Suzuki (www.rizla-suzuki-motogp.co.uk) kelmarin.


“Saya tahu ia bakal sukar, tetapi saya rasa lebih cepat saya dapat menunggang motosikal, lebih banyak ia membantu pemulihan secara keseluruhan dan mempercepatkan saya mencapai kecergasan penuh.”
Bautista, bekas juara dunia 125cc dan pelumba tunggal Suzuki dalam kejuaraan perdana itu, mengalami patah tulang paha yang menyambungkan sendi lututnya pada sesi latihan perlumbaan pembuka tirai musim di Grand Prix Qatar, Mac lalu. 

Penunggang Amerika, John Hopkins menggantikannya pada perlumbaan di Sepanyol bulan ini dan menduduki tempat ke-10. 

Pelumba Sepanyol itu berkata, dia sudah menamatkan peringkat pemulihannya selepas berulang kali mengunjungi pusat perubatan di Madrid dan kini berusaha memberi tumpuan persediaan fizikal dengan banyak melakukan aktiviti berenang dan berbasikal. 

“Ia bakal sukar tetapi saya fokus sepenuhnya untuk berada di atas jentera GSV-R di Portugal, itu saja yang saya fikirkan buat masa ini dan menjadi matlamat utama saya ketika ini,” katanya. 
Perlumbaan di Portugal itu adalah pusingan ketiga kalendar perlumbaan MotoGP musim ini dan pasukan Suzuki berkata, pelumba Jepun, Nobuatsu Aoki kekal diletakkan dalam keadaan bersedia andai Bautista tidak dapat berlumba. – Reuters

No comments:

Post a Comment