Friday 22 April 2011

Pertembungan menghiburkan (2011/04/23)

PEMINAT bola sepak berpeluang menyaksikan perlawanan bola sepak berkualiti, Rabu lalu apabila Tottenham Hotspur seri 3-3 dengan Arsenal di White Hart Lane manakala pada perlawanan akhir Copa del Rey Sepanyol di Valencia, Real Madrid mengejutkan Barcelona untuk muncul juara.
Kedua-dua perlawanan ini memiliki persamaan kerana Arsenal dan Barcelona terkenal dengan corak permainan berbeza serta pemain individu yang terkemuka. Tiada pasukan lebih mahir menguasai bola dan permainan seperti Arsenal dan Barcelona. Pergerakan pemain tanpa bola memberi dimensi baru dalam menyusun serangan.

Arsenal menguasai permainan dan apabila mendahului dengan tiga gol berbalas satu, mereka masih lagi meneruskan dengan corak permainan terbuka. Arsenal gagal mengubah corak permainan kepada corak lebih konservatif dan mempamerkan gerakan balas.
Spurs pula melakukan dua pertukaran pada babak kedua dengan memberi tenaga baru di posisi bek kanan dan kepantasan di posisi sayap kiri. Ini menukar rentak permainan dan tidak boleh dinafikan Spurs akhirnya kecewa dengan keputusan seri.

Manakala di Stadium Mestalla pula, kepantasan rentak permainan Real akhirnya membenam Barcelona. Kelincahan serta kepantasan Barcelona dibalas dengan persembahan agresif dan dinamik Real.

Sekali lagi pemilihan bek tengah Pepe sebagai pemain tengah bertahan memberi lebih tenaga kepada bahagian tengah dan kali ini beliau diarah merapati Lionel Messi. Corak permainan serangan balas dengan larian pantas serta dinamik Cristiano Ronaldo sebagai penyerang dibantu Mesut Ozil dan Angel di Maria sentiasa memberi tekanan kepada barisan pertahanan Barcelona.
Pemilihan Emmanuel Adebayor menggantikan Mesut Ozil menunjukkan tekad Jose Mourinho mementingkan tenaga dan kerja keras ketika penyerang lebih handal, Karim Benzema dan Gonzalo Higuain memanaskan bangku simpanan.

Kini Real dan Barcelona akan bertembung dua kali dalam peringkat separuh akhir Liga Juara-Juara Eropah. Jose Mourinho dijangka tidak akan mengubah corak permainan kerana kini tekanan sudah bertukar tangan dan Pep Guardiola pula memerlukan nafas serta tenaga baru.

Perlawanan El Clasico ini menarik minat penonton seluruh dunia tetapi pengurus skuad kebangsaan Sepanyol, Vicente del Bosque akan menghadapi cabaran besar menyatukan pemain kebangsaan dari kedua-dua pasukan itu yang sering bertengkar serta berkelahi sesama mereka.

No comments:

Post a Comment