Friday 22 April 2011

Petr Cech mengingatkan MU (2011/04/23)

LONDON: Penjaga gol Chelsea, Petr Cech mengingatkan Manchester United dan Arsenal bahawa pasukannya bersedia mengambil kesempatan ke atas pesaing Liga Perdana yang tidak konsisten selepas ini.
Skuad bimbingan Carlo Ancelotti yang akan menyambut kunjungan West Ham esok adalah pasukan Liga Perdana paling konsisten sejak kebelakangan ini selepas memenangi lima dan seri satu daripada enam perlawanan terakhir.

Persembahan itu melonjakkan mereka tepat pada masanya untuk kembali bersaing menjelang penghujung musim.
Sebaliknya pendahulu liga, United yang menentang Everton malam ini keciciran dua mata ketika mencatatkan seri tanpa jaringan dengan Newcastle pada Selasa, tersingkir daripada saingan Piala FA apabila tewas kepada Manchester City dan mempunyai perlawanan separuh akhir pertama Liga Juara-Juara menentang Schalke minggu depan.

Arsenal yang berkunjung ke Bolton malam ini mengalami nasib lebih teruk selepas seri lima daripada enam perlawanan terakhir menyebabkan mereka berada di tempat ketiga.

United kekal sebagai pilihan memenangi kejuaraan namun Cech yakin Chelsea yang kini berada di tempat kedua mampu mengatasi anak buah Sir Alex Ferguson itu.
“Mereka perlu beraksi di separuh akhir Liga Juara-Juara, mari kita saksikan bagaimana mereka berdepan dengannya,” kata Cech.

“Kami hanya mempunyai satu pertandingan yang memberikan kelebihan kepada kami kerana boleh melakukan persediaan sepanjang minggu dan mendapatkan rehat yang cukup.

“Kami sudah mengatakan sejak dulu lagi bahawa kami mahu terus mencatatkan kemenangan dan mengekalkan tekanan ke atas semua pihak.

“Arsenal berada di tempat ketiga untuk pertama kali selepas tempoh yang lama dan kita boleh saksikan bagaimana mereka berdepan situasi baru itu. Mereka mempunyai banyak peluang untuk merapatkan jurang tetapi tidak menggunakannya.

“United perlu menentang kami dan Arsenal jadi terdapat kemungkinan enam mata akan dicicirkan mereka.

“Kami mempunyai dua perlawanan di gelanggang sendiri menentang West Ham dan Spurs dan menang kedua-duanya situasi mungkin berubah lagi.” Ketika Chelsea sudah mendapatkan kembali rentak kemenangan, Arsenal memiliki tahap keyakinan yang rendah selepas keputusan kurang memberangsangkan menentang Liverpool dan Tottenham.

Penalti pada saat akhir masa kecederaan memberikan satu mata kepada Liverpool pada Ahad lalu dan Tottenham bangkit daripada ketinggalan 3-1 untuk mencatatkan keputusan seri pada perlawanan setempat dua kelab utara London pada Rabu.

Ia keputusan menghampakan untuk sebuah pasukan yang sudah rapuh dan pemain sayap Arsenal, Andrei Arshavin mengaku kejuaraan mungkin sudah terlepas daripada genggaman mereka.

“Kami bersaing namun peluang tipis,” kata Arshavin. “Untuk mengejar Manchester United sangat sukar.

“Tugas utama kami pada masa ini adalah mencapai mata maksimum daripada baki perlawanan.” Pertarungan merebut tempat keempat turut menarik dengan Manchester City kini bersaing untuk kuota terakhir Liga Juara-Juara, satu kedudukan mengatasi Tottenham.

Walaupun finalis Piala FA, City mungkin diatasi Tottenham menjelang pertemuan mereka dengan Blackburn pada Isnin, pengurusnya Roberto Mancini tetap tenang mengenai cabaran pasukannya untuk menjadi empat pasukan teratas.

“Semuanya dalam kawalan kami,” kata Mancini. “Kami tidak bergantung kepada Tottenham atau pasukan lain. Kami akan ke Liga Juara-Juara jika menang perlawanan kami.” Penyerang Spurs, Peter Crouch mengaku pasukannya perlu menewaskan West Bromwich Albion di White Hart Lane, malam ini untuk kekal bersaing namun penyerang England itu mendakwa semua tekanan kini terarah kepada City.

“Mereka lebih tertekan daripada kami,” kata Crouch. “Namun ia tidak mengurangkan sedikitpun hasrat mencipta kejayaan tapi kami mungkin mendapat lebih kebebasan berbanding mereka.” - AFP

No comments:

Post a Comment