Friday 22 April 2011

'Saya bangga bantu Pelita Jaya lonjak tangga ke-10' (2011/04/23)

Salam pertemuan sekali lagi. 

Minggu ini agak menggembirakan saya kerana pelbagai perkara berlaku sepanjang minggu ini yang menarik untuk dikongsikan bersama peminat dan pembaca Berita Harian.


Pertama, selepas mengharungi tujuh perlawanan sejak saya menyertai pasukan Pelita Jaya FC ini, saya bangga kerana membantu kelab melonjak ke tangga ke-10 daripada 15 pasukan. Pelbagai kritikan saya terima dan telan selama ini kerana menyertai pasukan yang menduduki tangga tercorot liga sudah saya lenyapkan.
Saya membuktikan kelab ini mampu melangkah jauh jika semua pihak bersama-sama membantu ke arah kejayaan. Saya juga setakat ini berjaya menjaringkan lima gol daripada jumlah tujuh perlawanan dan membantu kelab ini menambah mata demi mata dan terakhir sekali, dalam dua perlawanan di tempat lawan baru-baru ini, kami berjaya membawa pulang empat mata yang mana kami seri dengan Persela Lamongan FC dan menang menentang Deltras FC. 

Keduanya, saya berasa gembira kerana dimaklumkan pasukan kebangsaan akan memanggil saya mewakili negara dalam perlawanan persahabatan menentang Hong Kong pada 3 Jun ini. Ini adalah salah satu siri perlawanan ujian bagi persiapan menghadapi Pra-Piala Dunia yang akan membuka tirai pada hujung bulan Jun depan menentang Taiwan di Taipei. 


Ini satu penghormatan buat saya dan insyallah, jika diberi keizinan kelab untuk pulang mewakili negara, saya akan berusaha bersungguh-sungguh untuk menyumbang sesuatu bermakna. Bagaimanapun, kepulangan saya ke Kuala Lumpur bergantung kepada pelepasan kelab kerana Liga Super Indonesia masih mempunyai jadual ketat pada tarikh berkenaan. Saya serahkan kepada majikan membuat keputusan dan akur dengan segala keputusan dibuat kerana ia adalah untuk kebaikan saya sendiri, kelab dan negara. 
Ketiganya, saya dimaklumkan oleh Zakaria Rahim, pengurus saya bahawa saya tercalon oleh Astro Arena bagi Anugerah Atlit Lelaki Berpasukan Pilihan sempena Malam Anugerah Astro Arena esok di Kuala Lumpur. Saya berasa bangga kerana dicalonkan dan tidak mengharapkan kemenangan. Tetapi, jika menang bagus juga. Namun, sedikit mendukacitakan kerana saya tidak dapat hadir pada malam tersebut sebab pada malam yang sama, Pelita Jaya akan bertarung di gelanggang di Kerawang menentang salah satu kelab terkuat dalam Liga Indonesia, Arema Malang FC. Kelab ini juga mewakili Liga Indonesia di Liga AFC Champions League. Saya akan diwakili oleh ayah malam esok. 

Insyallah, jika tiada aral, saya akan pulang ke Kuala Lumpur untuk sedikit waktu sahaja bagi melunaskan kehendak penaja saya. Pelbagai program disusun oleh Zakaria sepanjang dua hari terbabit dan beliau memaklumkan jadual saya sangat padat. 

Semoga bertemu lagi, teruskan ikuti perkembangan saya di Berita Harian di ruangan ini setiap Sabtu atau layari Facebook rasmi saya di SafeeSali_10 Official.

No comments:

Post a Comment