Thursday 21 April 2011

Bukan mudah dan senang (2011/04/22)

“UNTUK sampai ke Sukan Olimpik bukan mudah dan senang. Selain perlu menanamkan cita-cita tinggi di dalam diri, atlet yang mahu beraksi dan berjaya pada tahap tertinggi ini juga perlu bersedia untuk melakukan pengorbanan dari segenap aspek.
“Selain itu, kekuatan mental amat diperlukan kerana persediaan layak dan beraksi pada Sukan Olimpik, mungkin berlaku pelbagai masalah yang tidak dijangka seperti kecederaan yang boleh menimpa pada bila-bila masa saja”.

Pandangan itu disuarakan pemenang pingat perak Sukan Olimpik 1996 di Atlanta, Amerika Syarikat yang juga bekas ketua jurulatih badminton kebangsaan, Yap Kim Hock (gambar) ketika ditanya mengenai persediaan diperlukan atlet untuk berada pada tahap Sukan Olimpik.
Pada temasya di Amerika Syarikat itu, bekas pemain berusia 41 tahun itu bergandingan dengan Cheah Soon Kit beraksi baik namun tewas pada final kepada pasangan Indonesia, Rexy Mainaky dan Ricky Subagja, 15-5, 13-15, 12-15.

Dia yang turut beraksi di Sukan Olimpik 2000 di Australia, empat tahun selepas itu menjelaskan, tekanan semasa beraksi di temasya itu lebih tinggi berbanding usaha untuk melayakkan diri.

“Atlet yang berada dalam program Road to London mesti mempunyai kekuatan mental dan fizikal yang mencukupi dan berdasarkan pengalaman saya terdapat dua cara untuk mengurangkan tekanan apabila bersaing di peringkat tertinggi itu.
“Cara pertama adalah dengan menghasilkan keputusan konsisten di peringkat antarabangsa untuk mendapatkan keyakinan dan kedua dengan sentiasa mahu berusaha untuk meningkatkan kemahiran agar berada setaraf atau lebih baik berbanding pesaing negara lain.

“Bukan saja badminton, malah saya yakin sukan lain yang diletakkan sasaran untuk beraksi di London mempunyai potensi mencapai keputusan cemerlang jika ia dapat dilakukan,” katanya.

Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara, Datuk Zolkples Embong sebelum ini menggesa 77 atlet program Road to London tidak terlalu mudah berputus asa untuk melayakkan diri pada temasya sukan yang dijadual dari 27 Julai hingga 12 Ogos 2012 itu.

Program membabitkan pelaburan puluhan jutaan ringgit itu meletakkan sasaran untuk memenangi pingat emas pertama Malaysia di Olimpik 2012 selepas hanya berbangga dengan pingat perak dan gangsa pada edisi sebelum ini.

Bagaimanapun, Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek ketika melancarkan detik 500 hari temasya di London itu menjelaskan empat emas berada di dalam jangkauan kontinjen negara selepas beberapa atlet mempamerkan keputusan konsisten di peringkat antarabangsa.

Selain jaguh badminton dunia, Datuk Lee Chong Wei dan ikon berbasikal, Mohd Azizuhasni Awang, dua lagi pingat emas yang dikatakan berada dalam jangkauan adalah melalui pasangan beregu utama badminton, Koo Kien Keat-Tan Boon Heong dan ratu terjun, Pandalela Rinong.

No comments:

Post a Comment