Tuesday 26 April 2011

Akur galas tanggungjawab (2011/04/26)

BOLTON: Arsene Wenger akur bertanggungjawab dan mengakui peluang Arsenal merangkul gelaran Liga Perdana Inggeris (EPL) kini musnah berikutan kekalahan kepada Bolton.


Wenger berkata, harapan pasukannya untuk mengelakkan musim keenam tanpa trofi kini ‘tipis’ selepas kekalahan 2-1 di Stadium Reebok, kelmarin. Keputusan itu menyebabkan Arsenal tercicir sembilan mata di belakang pendahulu liga, Manchester United dengan baki empat perlawanan.

Sungguhpun barisan Wenger, yang melayan kunjungan United di Stadium Emirates Ahad depan, secara matematik masih boleh menamatkan saingan di tempat teratas, hanya keajaiban boleh membuatkan Gunners memintas skuad Sir Alex Ferguson. 

Wenger tidak mahu berselindung selepas jaringan minit terakhir Tamir Cohen yang membolehkan Bolton meraih kemenangan dramatik untuk menamatkan musim Arsenal, dengan berkata pasukan bimbingannya kurang matang dan berpengalaman, tetapi mengakui dia harus dipersalahkan atas musim mengecewakan. 

“Peluang kami minimum tetapi kami akan terus berjuang,” kata Wenger. “Mengecewakan untuk mendapatkan dua mata saja daripada sembilan tetapi itulah kisah kami musim ini.” 
“Saya berpendapat pemain bersikap bagus sepanjang musim dan mereka sepatutnya tidak dipersalahkan. 

“Jika ada sesiapa yang patut disalahkan, ia adalah saya. Saya yang pilih pasukan, saya memilih pemain dan mereka menampilkan sikap yang menakjubkan sepanjang musim.” 

Kali terakhir Arsenal memenangi gelaran adalah pada 2005 ketika menjuarai Piala FA. – AFP

No comments:

Post a Comment