Thursday 21 April 2011

Tingkat prestasi (2011/04/22)

ROME: Pemandu Ferrari Felipe Massa menggesa pasukannya untuk meningkatkan persembahan mereka pada pusingan kelayakan jika mahu memberikan cabaran untuk meraih kejuaraan musim ini.
Massa yang menamatkan perlumbaan tempat keenam di depan rakan sepasukannya, Fernando Alonso, kelima di Grand Prix China pada Ahad lalu selepas menduduki tempat ketujuh dan kelima pada dua perlumbaan pembukaan di Malaysia dan Australia.

Namun jika pengeluar dari Itali itu mahu mencabar Red Bull dan McLaren musim ini, pusingan kelayakan Sabtu ini adalah tempat paling sesuai untuk melakukannya, kata pemandu dari Brazil itu.
“Kami sememangnya perlu layak dengan lebih baik supaya boleh mula melangkah ke depan di petak permulaan yang membantu dalam perlumbaan, walaupun ada yang berpendapat kedudukan di petak permulaan kurang penting pada tahun ini,” kata Massa dalam diari rasmi laman web Ferrari.

“Ketika di China, kedudukan petak saya adalah keenam, sesuatu yang tidak terlalu teruk dan kemudian saya naik satu tempat selepas bermula yang membolehkan saya berada di kedudukan kelima.

“Walau bagaimanapun jika anda melihat kepada kelajuan kereta, ia sudah mencukupi untuk membolehkan kami bersaing dengan pendahulu.
“Ia bermakna saya mengharungi perlumbaan yang menarik apabila mampu membaiki beberapa kedudukan secara berkesan, kereta yang kami gunakan dalam perlumbaan berbeza sepenuhnya daripada yang digunakan semasa kelayakan.

“Ia sempurna kerana saya mampu mendahului perlumbaan untuk satu tempoh pada satu peringkat dan saya bertahan di kedudukan kedua untuk satu tempoh lagi.

“Malangnya, pemandu yang berhenti sebanyak tiga kali untuk menukar tayar lebih laju daripada yang kami jangkakan semasa penghujung perlumbaan dan tayar mereka dalam keadaan lebih baik berbanding saya, mereka mampu untuk memotong.” Massa mengkritik strategi dua kali berhenti di pit stop yang digunakan Ferrari sejurus berakhir perlumbaan di China, namun dalam diarinya menafikan pasukannya membuat kesilapan sambil berkata masalah utamanya adalah tayar Pirellis yang kurang baik.

Dia menambah: “Kami sentiasa belajar pada peringkat ini dan harus menganalisa semuanya secara berhati-hati untuk melihat sama ada kami harus menggunakan pendekatan berbeza, mungkin mengubah strategi kelayakan menggunakan tayar baru untuk perlumbaan. - AFP

No comments:

Post a Comment