Saturday 9 April 2011

Hamilton berminat untuk berhijrah


PELUMBA McLaren Mercedes, Lewis Hamilton (gambar) seolah-olah memberi bayangan bakal meninggalkan pasukannya itu apabila menyatakan penghijrahan ke Red Bull mungkin boleh menjadi kenyataan dan sudah tentu dia berasa gembira dapat bekerjasama dengan juara bertahan, Sebastian Vettel.
Sebelum ini, Hamilton yang pernah muncul juara dunia 2008, dikatakan mahu berhijrah selepas pengurusan barunya, agensi XIX Entertainment membuat pengumuman mengenai perkara itu.

Hamilton yang mengambil keputusan selama setahun untuk melantik pengurus baru selepas menggunakan khidmat ayahnya sendiri sebelum ini berkata, perbincangan bersama Red Bull untuk menggantikan pemandu sensasi Australia, Mark Webber hanyalah secara teori saja.
“Tidak mustahil ia boleh menjadi kenyataan. Anda pernah lihat bagaimana saya pernah bekerja bersama Fernando Alonso, kami dilihat sangat kompetitif. Sekarang ini, saya bersama Jenson Button pula. Juara dunia boleh bekerja dalam satu pasukan selagi kedua-dua pemandu mendapat layanan sama rata.

“Mungkin pasukan lain tidak mempunyai persekitaran sama seperti kami. Dalam pasukan saya, anda akan dapat saksikan layanan yang sangat adil berbanding pasukan lain,” katanya.

Perkara itu mungkin akan difikirkan oleh prinsipal pasukan Red Bull, Christian Horner, tetapi Hamilton menegaskan, dia hanya mahu mempertahankan pemandu sedia ada.
“Saya menyatakan perkara ini kerana setiap individu pastinya tidak mahu menerima kekalahan, tapi sesetengah individu mungkin boleh menerimanya,” katanya.

Hamilton berkata: “Dalam pasukan ini, apabila Button menewaskan saya, saya lebih berfikiran positif dengan menyimpan hasrat untuk menewaskannya pada perlumbaan lain.

“Apabila saya berjaya menewaskannya, Button tidak pernah merungut dengan memberi pelbagai alasan.

“Seperti saya katakan tadi, semuanya dalam pasukan ini bersikap adil. Dalam pasukan lain mungkin berbeza. Saya tidak pernah merungut. Andai mereka mampu menewaskan saya, saya anggap mereka lebih hebat, itu saja.”

No comments:

Post a Comment