Friday 22 April 2011

Atlit diraikan (2011/04/23)

PENCAPAIAN cemerlang dirangkul atlet muda sepanjang tahun 2010 dalam sukan skuasy, bola sepak, ragbi dan golf diraikan dalam satu Majlis Anugerah Sukan yang dianjur oleh Tabung Sukan Bank CIMB di Kuala Lumpur, baru-baru ini.
Seramai 47 atlet muda daripada empat kategori sukan berkenaan menerima pengiktirafan daripada tabung sukan itu sebagai satu usaha untuk memberi galakan kepada mereka supaya meneruskan kecemerlangan dalam bidang itu.

Ketua Pegawai Eksekutif tabung sukan itu, Datuk Mohd Shukri Hussin berkata, dalam sukan pembangunan daripada peringkat awal sangat penting kerana ia memerlukan usaha yang berpanjangan untuk mendidik dan mengenalpasti potensi mereka.
“Kami berbesar hati kerana dapat menyumbang tenaga untuk membentuk golongan pelapis yang mampu dibanggakan pada masa depan dalam menggalas tugas bagi memartabatkan industri sukan negara.

“Saya kagum melihat potensi golongan pelapis ini semakin berkembang dari masa ke semasa dan melihat mereka semakin matang dalam memburu misi dan impian untuk menjadi atlet yang disegani kelak,” katanya ketika ucapan perasmian majlis anugerah berkenaan.

Mohd Shukri berkata, tabung sukan bank itu adalah sebagai salah satu tanggungjawab korporat institusi kewangan berkenaan untuk menyumbang tenaga ke arah pembangunan sukan negara.
Beliau berkata, pembangunan sukan bank itu memberi tumpuan terhadap tiga aspek utama iaitu pembangunan komuniti, sukan dan pengetahuan yang harus bergerak seiring sekali gus dapat mengangkat martabat sukan.

Hadir sama Ketua Eksekutif Kumpulan Bank CIMB, Datuk Seri Nazir Razak.

No comments:

Post a Comment