Friday 29 April 2011

Dahaga jaringan (30/4/2011)

PENYERANG berbisa Kelantan, Norshahrul Idlan Talaha, mengakui dia memikul tanggungjawab besar untuk merobek gawang Kuala Lumpur ketika melayan pelawat Lembah Klang itu di Stadium Sultan Muhammad IV, malam ini. 

Namun penyerang kebangsaan yang meledak 11 gol untuk Kelantan itu mengharapkan kerjasama rakan sepasukan terutama kapten Mohd Badri Radzi, untuk membuat lorongan tepat bagi memudahkan tugasnya.
“Fokus utama malam esok (ini) ialah memastikan Kelantan menjaringkan gol awal yang sekali gus akan menyuntik semangat pemain untuk terus mengekalkan corak menyerang.
“Keyakinan saya semakin memuncak, lebih-lebih lagi selepas menjaringkan gol setiap kali turun beraksi dan ini memberi keyakinan kepada saya untuk kekal sebagai penjaring terbanyak liga,” katanya selepas sesi latihan di Kota Bharu, semalam. 

Norshahrul mengakui setiap kali turun beraksi, dia tetap berasa tertekan terutama untuk memenuhi jangkaan tinggi peminat The Red Warriors namun berharap peminat sedar bahawa rakan sepasukan lain seperti Mohd Nizab Ayub, Nurul Azwan Roya dan Mohd Badri juga berupaya meledak jaringan. 

Sementara itu, Ketua Jurulatih Datuk M Karathu tidak mahu anak buahnya leka apabila melayan Kuala Lumpur supaya tidak tercicir di laman sendiri. 

Kejayaan menewaskan Kuala Lumpur pada pusingan pertama lalu juga tidak seharusnya meletakkan pemain terlalu yakin, sebaliknya mereka perlu memberi tumpuan penuh bagi memastikan kemenangan. 
“Kelantan perlu menang setiap perlawanan termasuk dengan Kuala Lumpur malam esok (ini) sekiranya mahu terus menekan dua pasukan teratas, Selangor dan Terengganu,” katanya. 

No comments:

Post a Comment