Thursday 28 April 2011

Topik mengenai elaun (2011/04/28)

DATUK Seri Shahidan Kassim yang tampak agresif tempoh hari kini kembali berlembut apabila menyuarakan ‘topik mengenai elaun atlit olahraga tertunggak’ sudah berakhir dan tidak perlu diheboh-hebohkan lagi buat mengeruhkan suasana. 

“Ini hanya cadangan, jadi ia bukan isu ... dan cadangan itu adalah daripada pihak majlis KOAM (Kesatuan Olahraga Amatur Malaysia) yang dibuat sebelum mesyuarat jawatankuasa memutuskan mengenai perkara itu,” kata presiden badan induk itu ketika ditanya berhubung isu itu, semalam.


“Pegawai kerajaan ada kuasa mutlak menentukan dan kita sebagai persatuan kena ikut keputusan yang tidak boleh dicabar.”
Komen terbaru itu harus menjadi satu berita baik untuk pengetahuan Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN), Datuk Zolkples Embong yang melenting, kelmarin apabila berkata pihaknya akan mendengar kes seumpama daripada persatuan sukan kebangsaan lain tapi bukan KOAM. 

Sambil menyifatkan isu itu tidak perlu dipanjangkan lagi serta sudah selesai, Shahidan Kassim berkata pihak jawatankuasa berkenaan sudah berbincang berhubung isu itu dan persetujuan juga sudah dicapai bahawa semua bayaran kepada atlit dan jurulatih yang tertunggak akan diselesaikan segera. 

Kenyataan Shahidan itu sekali gus menamatkan perbalahan mengenai tuntutan KOAM supaya tanggung jawab menguruskan pembayaran elaun atlit dan jurulatih itu diserahkan semula kepada badan induk itu seperti diamalkan sebelum Sukan Komanwel 1998. 

Mengulas kenyataan KOAM mungkin membatalkan latihan atlit negara di Kompleks Sukan Ranau andai Lembaga Sukan Negeri Sabah (LSNS) gagal menepati janji menyediakan peralatan asas hujung bulan ini, Shahidan berkata, berdasarkan perkembangan semasa ia mungkin sudah terlalu suntuk untuk latihan. 
Beliau berkata, memandangkan latihan atlit kini sudah memasuki fasa terakhir ke temasya berkenaan dan pihaknya dimaklumkan bahawa kemudahan di Ranau hanya akan siap sepenuhnya Jun nanti, mungkin sebahagian atlit saja boleh menyertai latihan di sana. 

“Cadangan supaya atlit berlatih di Ranau itu adalah untuk tujuan mencapai kecemerlangan. Tapi jika kemudahan tak lengkap dan ada risiko kecederaan, lebih baik tak pergi,” katanya.

No comments:

Post a Comment