Friday 22 April 2011

Erat hubungan (2011/04/23)

MENGIMBAU kembali kenangan 30 tahun lalu, seramai 28 bekas pelajar Sekolah Teknik Tuanku Ja’afar (STTJ) sesi 1980-81 mengambil inisiatif untuk berkumpul dan menganjurkan aktiviti sukan termasuk futsal bertempat di Gelanggang Mokhtar Dahari, Kompleks Sukan 1Malaysia, Putrajaya, baru-baru ini.
Bekas pelajar sekolah itu, Abdul Halim Abdul Aziz berkata, perjumpaan semula selepas 30 tahun itu diilhamkan selepas mereka berjumpa semula di laman sosial Facebook dan ada cadangan daripada beberapa rakan untuk mengadakan aktiviti sukan berkenaan.

“Selain daripada dapat berjumpa semula dengan kenalan lama, aktiviti sukan itu juga dapat mengeratkan tali persahabatan antara bekas pelajar STTJ dan ‘Persahabatan Melalui Sukan’ dipilih sebagai tema perjumpaan kami pada kali ini.
“Tema itu dipilih selaras dengan kehendak kerajaan supaya semua rakyat negara tidak mengira lapisan umur mahupun budaya mengamalkan gaya hidup sihat melalui pelbagai aktiviti sukan,” katanya.

Abdul Halim berkata, aktiviti utama perjumpaan itu adalah pertandingan futsal antara bilik asrama yang ternyata menggamit kembali kenangan manis bagi semua bekas pelajar sekolah STTJ yang ketika itu berumur lingkungan 16 tahun.

Dia berkata, ketika itu, mereka bukan saja sibuk mentelaah pelajaran untuk menghadapi peperiksaan tetapi kami juga turut didedahkan dengan aktiviti sukan di asrama yang dapat membentuk semangat persaingan yang sihat dikalangan pelajar.
“Melalui aktiviti sukan, persefahaman dapat dibentuk disamping semangat berpasukan yang terjalin bagi memastikan kejayaan pasukandiwakili,” katanya. Katanya, selain daripada pertandingan futsal yang menjadi agenda utama mereka, aktiviti sampingan turut diatur bagi ahli keluarga yang hadir antaranya acara timang bola futsal, sepakan penalti untuk wanita, pertandingan futsal kanak-kanak dan karaoke.

No comments:

Post a Comment