Friday 29 April 2011

Laung amaran awal (30/4/2011)

TAMPIL kali pertama bukan penghalang buat penunggang handalan Jepun, Katsuaki Fujiwara untuk mencatat masa terpantas pada sesi kelayakan pertama kategori SuperSports 600cc di pusingan pembukaan Kejuaraan Motosikal Asia PETRONAS (ARRC) di Litar Antarabangsa Sepang (Litar Utara), semalam.
Pelumba pasukan Manual-Tech Beet Kawasaki Racing itu muncul pelumba tunggal melakukan catatan di bawah 1:07 saat apabila merakam 1:06.811s manakala juara 2009, Chalermpol Polamai dari Yamaha Thailand Racing sekadar di tangga kedua (1:07.286s) diikuti pendatang baru 17 tahun, Michael Edward Jones (PETRONAS Syntium Moto Yamaha Raceline) yang mencatat 1:07.410s.
Walaupun muncul pelumba terpantas kategori SuperSports 600cc, Fujiwara enggan berpuas hati dengan catatan dilakukannya. 

“Saya gembira dapat mengukir nama di kedudukan teratas tetapi secara peribadi saya kurang puas hati dengan masa yang dilakukan. Saya gagal atasi 1:06.657s yang dilakukan Toshiyuki Hamaguchi pada 2008,” kata pelumba 36 tahun yang berpengalaman 13 tahun beraksi dalam Kejuaraan Superbike Dunia itu. 

Sementara itu, Zamri Baba dari PETRONAS Yamaha Malaysia sekadar mencatat 1:07.662s untuk berada di tangga ketujuh selepas terjatuh pada sesi latihan di sebelah pagi. 

“Selepas terjatuh, tahap keyakinan saya juga menurun dan tidak dapat memberi sepenuh perhatian pada sesi kelayakan tetapi saya mahu memperbaiki prestasi pada sesi latihan masa dan ujian masa kedua esok,” katanya. 
Dalam kategori Underbone 115cc, Rapid Topan Sucipto dari Indonesia melaung amaran awal untuk merebut gelaran tahun ini dengan catatan terpantas 1:24.408s, sekali gus memadamkan rekod dicatat Hadi Wijaya (1:24.456s) pada 2010. 

Hadi Wijaya dari Kawasaki NHK Rextor Manual Tech di tangga kedua manakala wakil negara, Zulsyafiz Rosli dari MOS Malaysia Racing di tangga ketiga dengan masa 1:25.494s. 

No comments:

Post a Comment